Disember 6, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Mei 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lawatan audit pemeriksaan daripada Engineering Accreditation Council (AEC) bagi memperbaharui perakuan akreditasi pada kursus yang ditawarkan.
Sesi lawatan pengauditan yang berlangsung selama dua hari itu telah bermula pada 3 Mei 2018 dan berlangsung di sekitar tiga buah fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Tenaga dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
Pengarah Pusat Kualiti dan Pengurusan Risiko (UTMQRiM) Prof. Dr. Yahya Md. Sam berkata sebanyak 10 kursus yang ditawarkan oleh UTM menjalani sesi pengauditan akreditasi oleh EAC bagi memperbahrui pengiktirafan akreditasi masing-masing.
“Kursus-kursus ini termasuk dua kursus yang ditawarkan secara separuh masa oleh Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE),” katanya.
Kursus- kursus yang terlibat adalah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal), Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) SPACEUTM, Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal – Aeronautik), Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal – Automotif) dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal – Bahan).
“Selain itu turut menjalani proses semakan akreditasi adalah kursus Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Industri), Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal –Pembuatan).
“Bagi Fakulti Kejuruteraan Tenaga pula kursus yang terlibat adalah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia) dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia-Bioproses) di samping kursus Fakulti Kejuruteraan Elektrik iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik) SPACEUTM,” katanya.
Panel EAC yang terdiri dari 30 orang ini akan menjalankan audit akreditasi dengan cara menyemak dokumen yang dikemukan oleh fakulti masing-masing di samping mengadakan perbincangan berkenaan dengan ‘Outcome-Based Assessment’ atau OBE, rekabentuk kurikulum dan juga Sistem Pengurusan Kualiti dengan Dekan, Ketua Jabatan dan Ketua Program.
“Mereka juga mengadakan pertemuan dengan mahasiswa di samping perjumpaan dengan para pemegang taruh dari luar seperti majikan, alumni dan juga penasihat program dari industri di samping perjumpaan dengan tenaga pengajar dan juga staf teknikal jabatan berkenaan.
“Panel AEC juga melakukan semakan terhadap kertas peperiksaan, bahan-bahan pembelajaran kursus dan juga tugasan yang dihantar oleh mahasiswa bagi tujuan ini,” katanya.

Panel Audit Akreditasi dari AEC bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi UTM sebelum melangsungkan sesi audit akreditasi bagi memperbaharui Perakuan Akreditasi bagi kursus-kursus UTM yang berkenaan.

 

Explore More