November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM-KEJORA tandatangan Memorandum kolaborasi strategik

JOHOR BAHRU, 8 Julai 2018 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi membolehkan kolaborasi strategik antara dua pihak.

Kolaborasi yang telah dipersetujui adalah kerjasama strategik dalam bidang pembangunan modal insan dan penyelidikan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan luar bandar di wilayah KEJORA iaitu Johor Tenggara.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata sebagai Universiti Penyelidikan yang beraspirasi untuk menjadi sebuah universiti inovatif, entrepreneurial dan global, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah agensi kerajaan seperti KEJORA.

“Secara spesifiknya, kerjasama antara UTM dan KEJORA adalah di bawah projek Kelestarian Modal Insan Luar Bandar (KaMIL) melalui Centre for Advancement in Rural Education Informatics (iCARE) UTM-KEJORA.

“Menerusi penyaluran dana berjumlah RM1 juta ke dalam tabung Endowmen UTM dalam tempoh tiga tahun, inisiatif ini akan menyokong agenda pembangunan modal insan dan penyelidikan dalam kalangan penduduk luar bandar di wilayah KEJORA iaitu Johor Tenggara,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama ini akan turut memberikan peluang kepada para penyelidik untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan berimpak tinggi berasaskan penglibatan komuniti atau ‘community-based partipatory research (CBPR) terutamanya dalam bidang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan luar bandar.

“Ini adalah selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang mewujudkan keperluan Pendidikan 4.0 yang lebih maju, menarik dan berdaya saing,” katanya.
Turut hadir adalah Ybhg Encik Norazman Othman, Pengurus Besar KEJORA dan juga Pengerusi Sekolah Komputeran UTM, Prof. Dr. Abd. Samad Hj. Ismail.

Sementara itu, Norazman dalam kenyataannya menegaskan bahawa KEJORA terus komited dalam membangunkan modal insan pelbagai lapisan masyarakat di wilayah itu melalui kerjasama strategik seperti ini.

“Peruntukan yang disalurkan turut melibatkan bantuan kewangan kepada pra-siswazah UTM dari wilayah KEJORA yang dipilih dalam kalangan ‘Bottom 40’ yang akan mengikuti program utama iCARE iaitu iCARE My English (iME).

“Program ini adalah bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris menggunakan ICT serta program-program lain yang akan menambah nilai dalam aspek kemahiran insaniah meraka,” katanya.

Seterusnya, pelajar yang terpilih bagi mengikuti program ini kelak akan menyumbang kepada komuniti setempat di Johor Tenggara selaras dengan aspirasi iCARE untuk mewujudkan kelestarian pembangunan modal insan luar bandar dalam kalangan komuniti mereka sendiri.

Kedua-dua dokumen ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM dan juga Pengurus Besar KEJORA di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim. Kedua-dua memorandum ini ialah kesinambungan daripada MoU yang dimeterai oleh kedua belah pihak dari tahun 2012 hingga 2017.

Norazman Othman (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Prof. Wahid di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Explore More