April 25, 2024

Search
Close this search box.

PERKABA anjur Program Mengharapkan Kasih Rakan bantu ringan beban mantan Staf UTM

JOHOR BAHRU, 1 Julai 2018 – Persatuan Kakitangan Bukan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PERKABA) telah menganjurkan Program Mengharapkan Kasih Rakan Siri- 2 bagi membantu bekas kakitangan yang ditimpa bencana.
Program yang berlangsung pada 1 Jun 2018 itu turut juga menyelitkan pertandingan bola sepak antara staf veteran kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Presiden PERKABA, Roslan Abd. Ghani berkata matlamat utama program ini adalah bagi membantu meringankan beban kehidupan yang ditanggung oleh mantan staf UTM yang diakibatkan oleh kecelakaan ataupun penyakit berbahaya.
“Dalam program ini, kami telah melancarkan tabung kutipan derma bagi membolehkan staf dan juga Pusat-Pusat Tanggungjawap (PTJ) di kedua-dua kampus itu menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban saudara Azman Arsad yang kini lumpuh separuh badan,” katanya.
Azman yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pekerja Rendah Awam (PRA) di Pejabat Harta Bina UTM Johor Bahru telah dibersarakan atas sebab kesihatan selepas lumpuh separuh badan setelah terlibat kemalangan jalan raya pada 2016.
Menurutnya lagi, sumbangan telah diserahkan kepada Azman oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar sejurus sebelum berlangsungnya perlawanan bola sepak antara vateran UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Azman Hashim, UTM Johor Bahru pada 1 Jun 2018.
Roslan berkata program siri pertama telah dilancarkan pada bulan April 2018 apabila PERKABA berjaya mengutip derma sebanyak RM300.00 untuk saudara Yasin Yaman yang merupakan pesara UTM.
“Selain membantu bekas-bekas rakan yang mengalami kesusahan hidup, kami juga mengambil kesempatan ini untuk merapatkan kembali hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan lain yang pernah berkhidmat bersama sewaktu di zaman awal perkhidmatan di UTM.
“Ada di kalangan mereka masih berkhidmat di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Tidak ketinggalan juga yang telah pun meninggalkan perkhidmatan UTM disebabkan bersara wajib ataupun berkhidmat di agensi lain,” katanya.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar merakamkan gambar kenangan bersama pasukan Bola Sepak Veteran UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur di Stadium Azman Hashim, kampus Johor Bahru semalam.

Explore More