April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Julai 2018 – Sebanyak empat agensi Media di bawah naungah Media Prima Berhad (MPB) telah mengungguli empat kategori Anugerah Media dalam majlis Malam Mesra Media 2018.
Program tersebut adalah anjuran secara bersama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM atau (UTMSPACE) yang berlangsung di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.
Sebanyak empat Anugerah telah diberikan iaitu Anugerah Berita Penyelidikan dan Perundingan, Berita Pendidikan, Berita Khidmat Masyarakat dan Foto Terbaik di samping anugerah tambahan iaitu Anugerah Media Pilihan UTMSPACE.
Anugerah Berita Penyelidikan dan Perundingan telah dimenangi oleh Nurul Amanina Muhamad Suhaini dari Berita Harian (Akhbar Bahasa Melayu) dan Mohd Farhaan Shah Nazaruddin (Akhbar Bahasa Inggeris) serta Ismail Osman dari Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi kategori Televisyen.
Bagi Berita Pendidikan pula telah dimenangi oleh Mohd Sabran Md Sani dari Harian Metro (Akhbar Melayu) dan Nelson Benjamin dari The Star (Akhbar Bahasa Inggeris).
Sementara itu, Suhaini Mohd Khalid dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Berita Khidmat Masyarakat untuk Akhbar Melayu manakala Mohd Farhaan Shah Nazaruddin dari The Star bagi Akhbar Bahasa Inggeris.
Bagi Anugerah Foto Terbaik pula mencatatkan Raja Jaafar Raja Ali dari Utusan Malaysia telah diumumkan sebagai pemenang untuk kategori Media Cetak Bahasa Melayu, Mohd Zain Ahmed dari New Straits Times Press (NSTP) bagi Media Cetak Bahasa Inggeris dan Lek Kah Ming dari Sin Chew Daily untuk Media Cetak Bahasa Cina.
Kesemua pemenang telah menerima hadiah masing-masing dari Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar yang berjumlah RM500 bagi setiap kategori anugerah. Bagi Anugerah Media Pilihan UTMSPACE pula dimenangi oleh akhbar Sinar Harian.
Sementara itu Prof. Wahid dalam ucapannya telah menegaskan bahawa peranan pihak media adalah amat penting dalam memberikan publisiti dan hebahan ke atas setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh UTM.
“Sebagai sebuah Universiti Penyelidikan (RU), banyak aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan serta khidmat sosial dijalankan oleh penyelidik UTM.
“Aktiviti berkenaan dijalankan dengan matlamat utamanya untuk memberikan manfaat kepada masyarakat industri, usahawan, petani, nelayan dan lain-lainnya. Menerusi kerjasama dengan pihak media, aktiviti yang dijalankan dapat disebarkan melalui media cetak atau elektronik,” katanya.
Prof. Wahid berkata menerusi penyebaran maklumat berkenaan, pihak universiti juga boleh mendapat maklum balas daripada pihak industri, pengusaha industri kecil dan sederhana, usahawan, persatuan, agensi kerajaan dan kementerian untuk memperkembangkan lagi aktivi berkaitan Penyelidikan dan Pembangunannya (R&D).
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Prof. Dr. Mohd Azraai Kassim.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (enam dari kanan) bergambar bersama wakil-wakil media yang menang anugerah yang dipertandingkan dalam Malam Mesra Media 2018 UTM

Explore More