April 24, 2024

Search
Close this search box.

118 Guru tamatkan Kursus Kemahiran Sains Komputer anjuran UTM XCITE

JOHOR BAHRU, 25 April 2018- Seramai 118 orang guru dari sekitar negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka telah berjaya menamatkan Kursus Pensijilan Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer 2018 anjuran Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM XCITE).

Program yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ini telah berlangsung di M-Suite Hotel, Johor Bahru.

Pengarah UTM XCITE, Prof. Madya Dr. Mohd Zaidi Abd. Rozan berkata kursus ini merupakan inisiatif kerajaan Malaysia melalui MDEC dan KPM bagi melatih guru-guru dengan pengetahuan dan kemahiran sains komputer.

“Para peserta juga diajar dengan pengetahuan pengaturcaraan dan juga memahami dan menggunakan strategi pedagogi yang sesuai untuk pengajaran pemikiran komputasional dan sains komputer (CTCS).

“Peserta program ini juga telah melalui latihan selama 40 jam secara “face to face” dengan Master Trainer yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah UTM. Mereka juga diberikan tugasan seperti projek pengaturcaraan (programming), menyediakan kertas cadangan bagi siasatan bilik darjah (classroom investigation) dan video laporan,” katanya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pro-Naib Canselor (Strategi) UTM, Prof. Dr. Shahrin Mohammad. Turut hadir adalah Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Sallina Hussain dan Pengurus Educator Readiness, Talent & Digital Entrepreneurship Division MDEC, Johan Termizi.

Dr. Mohd Zaidi juga berkata bahawa UTM XCITE telah diberi mandat oleh MDEC bagi meneruskan lagi pelaksanaan program Kursus Pensijilan Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer bagi tahun 2018 ini.

“Selain kursus ini, UTM XCITE juga telah diberikan kebenaran untuk melaksanakan Bengkel Micro-controller bagi Jurulatih Utama KPM yang terlibat dalam pengajaran mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) yang juga akan diadakan pada bulan Mei 2018 akan datang,” katanya lagi.

Prof. Shahrin (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta yang berjaya menamatkan kursus anjuran UTM XCITE ini.

 

Explore More