November 22, 2024

Search
Close this search box.

Luqman dan Azmina kongsi pengalaman sertai YEP ke Hanzou

JOHOR BAHRU, 19 Mac 2018 –  Kunjungan dua orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyertai Program Youth E-Programme (YEP) Siri 1/2018 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke Hanzou, China adalah satu pengalaman yang menakjubkan serta penuh pengisian yang berguna.

Muhammad Luqman dan Nur Azminda berkongsi pengalaman dalam program Perkongsian Aspirasi Minda Keusahawanan di Dewan Jamuan, UTM Johor Bahru.

Bagi Muhammad Luqman Wafiy Abdul Muiz dan Nur Azmina Ramli pengalaman berkunjung ke negara berkenaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan penuh dengan informasi yang amat diperlukan bagi usahawan digital alaf ini.

Berkongsi pengalaman masing-masing dalam forum Program Perkongsian Aspirasi Minda Keusahawanan yang berlangsung di Dewan Jamuan, UTM Johor Bahru Muhammad Luqman Wafiy berkata banyak yang telah dipelajari sepanjang mengikuti program YEP ini.

“Kami diajar mengenai budaya dalam perniagaan serta cara yang efektif bagi mengembangkan aktiviti perdagangan melalui aplikasi perniagaan atas talian (online).

“Sebagai bakal usahawan atas talian, kami juga telah diperkenalkan dengan teknik pemasaran ‘online’ yang baik serta mencari individu yang baik untuk mengendalikan perniagaan yang baik,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai bakal usahawan, peserta juga ditekankan untuk berfikir cara global dalam menangani permasalahan yang berkaitan dengan keusahawanan global.

Temannya Nur Azmina Ramli berkata, peserta telah diajar cara untuk merancang dan  mengurus perniagaan.

“Peserta juga diterangkan mengenai kebaikan perniagaan secara atas talian dan bagaimana corak perdagangan ini lebih baik berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Menurutnya lagi, para peserta juga ditunjukkan mengenai budaya perniagaan atas talian di negara tembok besar itu selain diberikan beberapa dapatan mengenai cara menubuhkan perniagaan atas talian.

“Selain penerangan mengenai kebaikan berniaga secara atas talian, kami juga telah diberikan beberapa dapatan menarik untuk bagi membantu ‘mendirikan’ perniagaan ini dari kosong sehinggalah berjaya,” katanya.

Program YEP ini adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dengan kerjasama AliBaba Group, syarikat perniagaan digital dari China.

Seramai 30 orang mahasiswa dari Universiti Awam (UA) dan juga Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara telah dipilih bagi menyertai program ini yang berlangsung di beberapa tempat menarik di China.

Selain diberikan pendedahan mengenai keusahawanan digital dan juga tentang perniagaan atas talian, peserta juga berpeluang untuk berjumpa dengan Pengasas AliBaba Group dan juga jutawan China, Jack Ma.

Program perkongsian itu adalah anjuran bersama Pejabat Pengajian Prasiswazah dan juga Pusat Inovasi Mahasiswa dan Teknologi Keusahawanan UTM (UTM XCITE).  Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Zainuddin Abd. Manan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More