JOHOR BAHRU, 8 Ogos 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa bersedia untuk menjalankan kerjasama penyelidikan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aspek penggunaan teknologi lestari untuk tujuan pertahanan.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, UTM tidak menolak untuk menerokai setiap peluang kerjasama penyelidikan yang berpotensi untuk diusahakan bersama agensi pertahanan itu sekiranya diperlukan.
“Adalah penting untuk kita meneroka setiap peluang yang berada di UTM ini dan inisiatif tersebut akan membuka lebih banyak peluang lain di masa hadapan.
“Ini kerana kita amat memerlukan kepakaran tempatan bagi tujuan pembangunan teknologi pertahanan jangka panjang yang lebih efisyen, menjimatkan serta mudah untuk diselenggara,” katanya.
Prof. Wahid berkata demikian ketika sesi penutup lawatan sehari oleh Asisten Ketua Staf Perancangan Pertahanan Markas ATM, Mej. Jen. Dato’ Hj. Mohamad Salleh Hj. Osman.
Dalam lawatan itu, delegasi dari Kementerian Pertahanan telah dibawa melawat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) dan ke Makmal Aeronautik.
“Saya dimaklumkan bahawa pihak ATM telah menunjukkan minat untuk membangunkan mesin penapis air minuman dengan menggunakan teknologi membran UTM dan teknologi roket.
“Ini adalah satu permulaan yang baik bagi kerjasama antara kedua belah pihak dan saya percaya banyak lagi kerjasama yang boleh diusahakan pada masa hadapan,” katanya.
Turut mengiringi beliau adalah Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas ATM, Brig. Jen. Dato’ Roshaimi Zakaria, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Dr. Mohamed Asri Hj Ariffin, Pengarah Urusan Lestari Advanced Technology Sdn. Bhd, Joahari Abu Bakar dan juga beberapa pegawai kanan ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan.