Mei 7, 2024

Search
Close this search box.

UTM bantu PBT Pengerang sedia kajian berimpak tinggi

JOHOR BAHRU, 2 Ogos 2017 –  Penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dilibatkan secara aktif dalam empat projek berimpak tinggi yang bakal memberikan kesan positif kepada penduduk di mukim Pengerang.

Prof. Dr. Ahmad Fauzi (kanan) dan Haji Bukhari bertukar dokumen perjanjian.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang bersetuju untuk melantik UTM bagi menjalankan empat kajian utama berikutan pembangunan yang pesat berkembang di kawasan berkenaan.

“Kajian berkenaan ialah penyediaan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon, Pelan Induk Pelancongan Pengerang, Kajian Kegunaan Tertinggi dan Terbaik bagi Lot-lot Medan Selera, Perniagaan Sedia ada di Teluk Sengat dan pembangunan sistem pengurusan bencana berteraskan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid dan Dato’ Kamaruzzaman mengadakan sidang media bersama.

“Sistem GIS akan digunakan dalam perlaksanaan Sistem Pengurusan Bencana yang bakal dilaksanakan di Stesen Penapis Petroleum (RAPID) milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis menandatangani memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian antara UTM dan PBT Pengerang, di UTM, hari ini.

Profesor Dr Ho Chin Seong (kiri) mengetuai Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon menandatangani dokumen perjanjian.
Profesor Dr Alias Abdul Rahman (kanan) mengetuai kajian sistem pengurusan bencana.

Memorandum persefahaman itu ditangatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Yang Dipertua PBT Pengerang, Haji Bukhari Abd. Rahman.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim.

Profesor Wahid berkata, kerjasama antara dua pihak adalah selaras dengan penubuhan Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) yang merupakan sinergi antara institusi pengajian tinggi, Industri dan kerajaan negeri bagi membantu perkembangan ekonomi negeri.

Sementara itu, Haji Bukhari mempelawa UTM untuk membangunkan tanah milik universiti itu di sana supaya pembangunan Koridor Ekonomi Johor Timur dapat dimanfaatkan secara bersama.

“PBT Pengerang ditubuhkan pada 1 Januari 2017 dan kerajaan negeri telah memberi amanah kepada Johor Corporation untuk menguruskan kawasan berkenaan.

“Antara langkah konstruktif dalam merancang dan membangunkan kawasan berkenaan ialah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pelabur industri, agensi-agensi kerajaan, masyarakat setempat dan institut pengajian tinggi bagi tujuan penyediaan pelan rangka pembangunan terbaik jangka panjang mukim itu,” katanya.

Explore More