Mei 7, 2024

Search
Close this search box.

Jadual padat Menteri Pendidikan Tinggi dalam lawatan kerja ke UTM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2017 – Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi meninjau kerjasama industri dan akademia, hari ini.

Dato’ Seri Idris Jusoh mendapatkan pandangan daripada ahli akademik UTM mengenai masa depan negara dalam forum TN50 di Dewan Bankuet, BCSI.

Beliau memulakan jadual padatnya dengan menghadiri Suara TN50 Aspirasi Warga Pendidikan Bersama Menteri (Zon Selatan) yang diadakan di Dewan Bangkuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), sebaik tiba dari Kuala Lumpur, malam tadi.

Program itu dihadiri oleh lebih 300 ahli akademik dari UTM, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Johor.

Dato’ Seri Idris Jusoh mendengar taklimat mengenai penganjuran University Presidents Forum 2017 di kediaman rasmi Naib Canselor UTM.

Pada pagi ini beliau menghadiri perjumpaan dan sarapan pagi di kediaman rasmi Naib Canselor bersama lebih 90 peserta University Presidents Forum 2017 dari 54 buah universiti dari 19 buah negara.

Selepas itu, Dato’ Seri Idris melancarkan Classroom of Future, konsep bilik kuliah masa hadapan dan dan UTM-Huawei iLearning Cloud Showcase di Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX) di bangunan Unit Pengurusan Makmal Universiti (UPMU).

Dato’ Seri Idris Jusoh mencuba gajet pembelajaran maya di majlis pelancaran Konsep Classroom of Future.

Konsep Classroom of Future menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) dan Cisco SPARK bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih interaktif.

Di bangunan yang sama, Dato Seri Idris turut melancarkan “UTM 4.0 4th Industrial Revolution Showcase” selaras dengan kesediaan pihak Universiti dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri ke-4 seterusnya memposisikan penyelidikan untuk keunggulan global.

Pengarah UTM Centre for Engineering Education, Prof. Dr. Khairiyah binti Mohd Yusof memberi penerangan kepada Dato’ Seri Idris Jusoh semasa melawat UTM 4.0 4th Industrial Revolution Showcase.

Selepas itu, beliau merasmikan bangunan Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) yang diiktiraf sebagai Institut Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang Water Reclamation oleh Kementerian Pegajian Tinggi.

Di majlis yang sama, Menteri Pendidikan Tinggi melakukan pra pelancaran Program Penyelidikan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi Jaminan Air Kebangsaan.

Sempena pelancaran berkenaan, UTM menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi sebuah Mini Seawater Desalination berkapasiti 6,000 liter sehari dan dua buah Mobile ROU Drinking Water System berkapasiti 1,000 liter sehari bagi menampung keperluan masyarakat yang menghadapi masalah bekalan air bersih.

Pengarah Makmal Aeronautik, Profesor Dr Wan Khairuddin Wan Ali memberi penerangan mengenai roket yang dihasilkan.

Seterusnya, Dato’ Seri Idris mengadakan lawatan ke Makmal Aeronautik bagi melihat kejayaan penyelidik UTM menghasilkan bahan pendorong untuk menghasilkan daya tujah roket yang sangat sukar diperolehi dari negara luar.

Berikutnya, beliau ke Dewan Senat, BCSI untuk menghadiri dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara AMTEC dan Makmal Aeronautik UTM dengan Lestari Advance Technology Sdn Bhd (LATSB).

Dato’ Seri Idris Jusoh mengadakan sidang media selepas majlis menandatangani memorandun persefahaman antara UTM dan LATSB.

Perjanjian antara AMTEC dan LATSB bertujuan membangun dan mengkomersialkan produk teknologi membran untuk penyahgaraman air laut bagi kegunaan komuniti dan industri.

Manakala perjanjian yang membabitkan Makmal Aeronautik UTM dan LATSB adalah berkaitan dengan aktiviti pengkomersialan bahan dorongan untuk industri aeroangkasa berasaskan teknologi roket.

Dato’ Seri Idris mengakhiri lawatan kerja ke UTM dengan menghadiri sesi ramah mesra dan dialog bersama mahasiswa UTM di Centre for Student Innovation (CSI), Kolej Tunku Canselor sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada lewat petang.

 

Explore More