JOHOR BAHRU, 28 Mei 2017 – Sebanyak RM6,000 sehari diperlukan oleh Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyediakan jamuan berbuka puasa untuk 1,500 mahasiswa di Masjid Sultan Ismail.
Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Aminuddin Ruskam berkata, sehingga hari ini pihaknya berjaya mengumpul sumbangan wang tunai dari pelbagai pihak berjumlah RM46,884.
“Selain wang tunai Pusat Islam menerima sumbangan bahan mentah seperti beras, gula, kordial minuman, minyak masak dan kurma daripada staf UTM yang ingin mengambil kesempatan untuk bersedekah sempena Ramadan.
“Bagi menampung kos menyediakan jamuan berbuka puasa Pusat Islam melancarkan Dana Ramadan yang dilancarkan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Dewan Senat pada 24 April lalu,” katanya.
Beliau berkata, selain untuk berbuka puasa, Dana Ramadan digunakan untuk pelbagai aktiviti lain seperti program bersahur, sumbangan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, khatam al-Quran, Majlis Ilmu Ramadan dan Majlis Iftar Perdana.
Sebagai langkah penjimatan, kerja-kerja menyediakan jamuan berbuka dikendalikan oleh staf Pusat Islam dan dibantu oleh sukarelawan dari kalangan mahasiswa UTM.
“Selain menjimatkan belanja, kita juga dapat menimbulkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan staf UTM,” katanya.
Beliau menyeru staf UTM, untuk sama-sama menyumbang kepada tabung Dana Ramadan bagi membolehkan Pusat Islam menyediakan jamuan untuk berbuka puasa pada setiap hari sepanjang Ramadhan.