April 19, 2024

Search
Close this search box.

Penerbit UTM Press Raih Tiga Anugerah Buku Negara 2017

Kuala Lumpur – 02 Mei – Terbitan buku Penerbit UTM Press terus mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Ini terbukti dengan tiga anugerah yang diterima pada Majlis Anugerah Buku Negara 2017 yang telah berlangsung pada 2 Mei 2017, di Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia.

Buku berjudul Pengaturcaraan Berstruktur Menggunakan C++ karya Dayang Norhayati Abang Jawawi, Radziah Mohamad, Noraniah Mohd. Yassin, Norazah Yusof dan Zalmiyah Zakaria telah dianugerahkan sebagai Buku Sains dan Teknologi Terbaik dalam kategori Anugerah Pengajian Tinggi bagi Anugerah Buku Negara 2017. Buku ini merupakan bahan pengajaran dan pembelajaran oleh pengaturcara yang baru mempelajari teknik penyelesaian masalah dan bahasa pengaturcaraan C++ serta menjadi buku rujukan di institusi-institusi pendidikan tinggi dalam negara.

Manakala, buku The Coronation of HRH Sultan Ibrahim of Johor, karya Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim Ramli, yang juga merupakan Karyawan Tamu UTM telah dianugerahkan sebagai buku Naskhah Jilid Terbaik, dalam kategori Anugerah Industri Buku Negara tahun 2017. Buku ini mengisahkan secara terperinci adat istiadat kemahkotaan Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Kecemerlangan Penerbit UTM Press terus menyerlah apabila Yang berbahagia Tan Sri Datuk Seri Dr. Alies Anor Abdul, penulis buku Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia terbitan bersama Penerbit UTM Press dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Pemikir Politik bagi kategori Anugerah Perdana.

Anugerah Buku Negara yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara semenjak tahun 2005 hingga kini, adalah merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada semua pemain dalam industri buku negara.

Explore More