April 20, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Perasmian Pusat Fisioterapi Terapi UTM RAZAK

Selangor, 27 April 2017 – Satu majlis perasmian pembinaan pusat fisioterapi telah berlangsung di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz, Adun Semenyih. Antara tetamu terhormat dalam majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato’  Barkhiya Shahiruddin, Dr. Ab Wahab Che Mat dan En. Mohd Fahusli Ali wakil dari (NBOS KPT), En Hazly Jaápar (CCIN UTM), Dr. Rasheed Kutty dan Dr. Nik Nadzirah wakil dari UTM Razak, JKKK kampung dan En Mohiadin Bin Bahado yang merupakan pengerusi Nur Hasanah. Pusat fisioterapi dan kesihatan ini telah diberi nama Pusat Fisioterapi UTM RAZAK sempena dengan nama Sekolah UTM RAZAK yang telah terlibat secara langsung dalam menjayakan projek ini sejak Jun 2016. Projek ini telah diketuai oleh Dr Mohamad Zaki Bin Hassan dan ini merupakan salah satu program komuniti Sekolah UTM RAZAK di bawah dana Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN). Terdapat 5 orang pensyarah yang terlibat iaitu Dr Hazilah Mad Kaidi, Dr Mohamed Azlan Suhot, Dr Nor Fazilah Mohd Hashim, Dr Nurul Aini Binti Bani, Puan Rafizah Musa dan Dr Rudzidatul Akmam Dziyaudin yang semuanya daripada UTM RAZAK telah menggembeling tenaga dalam menjayakan projek ini.

Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor adalah antara rumah transit untuk pesakit yang terdampar tanpa waris, mualaf, warga emas atau orang kurang upaya dari pelbagai kaum yang dirujuk daripada kebanyakan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP), hospital kerajaan di seluruh negara. Sejak penubuhannya pada tahun 2006, ia sudah menjadi rumah transit kepada lebih 1250 penghuni. Mereka tinggal di pusat jagaan ini sehingga akhir hayat sekiranya tiada waris mahu mengambil mereka. Sehingga hari ini, seramai 44 orang telah kembali ke rahmatullah dan selebihnya ada yang memohon keluar untuk bekerja setelah pulih daripada penyakit yang dihadapi. Pada masa ini, pusat jagaan ini dihuni oleh 20 orang warga lelaki sahaja dalam anggaran umur 50 ke 80 tahun yang terdiri daripada mereka yang uzur dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak kerana penyakit yang dihidapi. Aktiviti harian mereka dibantu oleh 5 orang penjaga. Operasi pusat jagaan bergantung pada dana sumbangan individu, organisasi bukan kerajaan (NGO), dan juga syarikat tempatan dan antarabangsa.

Perancangan untuk membina pusat fisioterapi ini tercetus hasil daripada susulan program Riang Ria Syawal pada tahun 2015 bersama warga pusat jagaan yang majoriti terdiri daripada warga emas. Projek ini sebenarnya di bawah salah satu aktiviti komuniti ahli jawatankuasa unit Kelayakan Profesional di Sekolah RAZAK. Projek Pusat Fisioterapi UTM RAZAK ini telah berjaya mendapat dana daripada pelbagai pihak sama ada individu dan organisasi seperti  Majlis Sukan Negara (MSN), MKM Expert Service dan Sri Kenali Engineering and Services Sdn Bhd.

Objektif utama pembinaan Pusat Fisioterapi UTM RAZAK ialah untuk meningkatkan kualiti hidup warga Pusat Jagaan Nurhasanah terutamanya dari segi penjagaan kesihatan, pengurangan tekanan emosi dan juga dapat menjalani kehidupan dengan lebih ceria. Projek ini terlibat dengan pembelian alatan fisioterapi dan kesihatan selain daripada pembinaan pusat fisioterapi tersebut. Malahan pula, aktiviti kecergasan dan kesihatan juga telah dirancang bagi melatih khususnya warga tua untuk menggunakan alat kesihatan dan fisioterapi dengan kaedah yang betul. Oleh itu, pusat fisioterapi ini telah berjaya dibangunkan dan bersedia untk digunakan oleh warga Pusat Jagaan Orang Tua Nur Hasanah. Warga pusat jagaan telah menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan dalam segala aktiviti yang dijalankan sepanjang projek ini.

Explore More