April 24, 2024

Search
Close this search box.

Kompleks Penginapan Pelajar UTM Tawar Kemudahan Penginapan Serba Lengkap

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kemudahan penginapan serba lengkap, selesa, moden dan bertaraf antarabangsa kepada pelajarnya dengan membina Kompleks Penginapan Pelajar.

Kompleks yang dibina di kawasan seluas 4.26 ekar di dalam kawasan kampus berhampiran Jalan Maktab, dekat sini dinamakan Residensi UTMKL terdiri daripada empat buat menara setinggi antara 11 dan 22 tingkat.

Kompleks berkenaan mengandungi 500 buah bilik akan diuruskan secara profesional oleh Hotel Royal Widad Hospitality Management (Royal Widad Residence@utmKL) dan The Regency yang berpengalaman luas dalam bidang perhotelan di negara ini.

Bilik berkenaan akan diuruskan sebagai hotel dan service apartment bertaraf tiga dan empat bintang untuk memberikan keselesaan dan kemudahan yang serba lengkap untuk keselesaan penyewa.

 


Residensi UTMKL mengandungi tujuh tingkat podium dan empat menara penginapan. Menara 1 adalah menara tertinggi dengan 22 tingkat yang mengandungi 150 unit penginapan dua bilik setiap satu manakala Menara 2 setinggi 13 tingkat mengandungi 50 unit penginapan tiga bilik setiap unit diikuti oleh Menara 3 setinggi 11 tingkat mengandungi 118 unit studio dan Menara 4 setinggi 14 tingkat mengandungi 182 unit studio.

Selain itu, Residensi UTMKL dilengkapi dengan dewan permainan boling 10 lorong, dewan serbaguna yang boleh menampung seramai 500 orang tetamu, kolam renang, 60 ruang perniagaan seluas 39,860 meter persegi dan kemudahan lot parkir sebanyak 719 lot.

Pembinaan kompleks berkenaan selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang menggalakkan Universiti Awam (UA) menjana pendapatan sendiri bagi mengurangkan pengantungan kepada kerajaan. Lokasinya yang berhampiran pusat bandaraya Kuala Lumpur diharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari dalam dan luar negara mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UTM.

Kos pembinaan Residensi UTMKL berjumlah RM 171.5 juta diperolehi menerusi pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM 180 Juta.
Idea pembinaannya dicetuskan oleh mantan Naib Canselor UTM, Dato’ Seri. Ir. Dr. Zaini Ujang pada tahun 2009 dan telah mendapat sokongan daripada Lembaga Pengarah Universiti serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Projek pembinaan Residensi UTMKL diuruskan secara “in-House” dengan keseluruhan dokumen kontrak, proses perolehan, tawaran kontrak, lantikan kontraktor, pengurusan kewangan, pentadbiran pengurusan projek sehingga siap menggunakan tenaga kepakaran dalaman sendiri.

Langkah berkenaan membolehkan UTM menjimatkan kos perunding berjumlah RM 4 juta.

Setakat ini sebanyak 85 peratus ruang niaga telah pun ditempah oleh penyewa yang telah mengesahkan penyewaan antaranya UTMSPACE, EliteBowl, kedai makanan segera Burger King, Pizza Hut dan Subway, peruncit 99Speedmart, kedai serbaneka my.News.com dan Gloria Jean’s Coffee untuk menjalankan perniagaan di kompleks berkenaan.

Residensi UTMKL dibina oleh kontraktor Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB) bermula pada Julai 2013 dan siap sepenuhnya pada 7 Mei 2017 dan diserahkan oleh Pengerusinya Datuk Prof. A Rahman @ Omar Abdullah kepada Naib Canselor UTM Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di majlis penyerahan pada hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Abdul Halim Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan AZRB Dato’ Sri Haji Wan Zaki Haji Wan Muda.

Explore More