September 26, 2023

Jelajah Srikandi 2017 bawa mahasiswi UTM tabur bakti di Jerantut

fatimahzarah
fatimahzarah

Jerantut, 16 April 2017 – Program Jelajah Srikandi 2017 di Jerantut, Pahang selama tiga hari yang berakhir semalam, telah mencapai matlamat penganjuran. Seramai 45 mahasiswi dari Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memulakan misi khidmat bakti masyarakat mereka sejak 14 April 2017 yang lalu ke Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Majlis Perasmian Jelajah Srikandi 2017 bersama Haji Norzari Yahaya (dua dari kiri) yang mewakili Ahli Parlimen Jerantut Dato’ Hj Ahmad Nazlan Idris.

Program Jelajah Srikandi 2017 anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), KTF dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Ulu Cheka dirasmikan oleh AJK UMNO Bahagian Jerantut, Haji Mohamad Norzari Yahaya.

Pengarah Program, Sarah Imani Mohd Adil berkata, seramai 29 ahli jawatankuasa JKM KTF, 16 penuntut Ijazah Sarjana Muda, tiga Felo dan Pembantu Felo tinggal bersama 14 keluarga angkat yang sememangnya berbesar hati menyambut kedatangan mereka.

“Majlis penyerahan anak angkat telah dilakukan oleh Pengerusi JKK Kampung Ulu Cheka, Nazlan Che Husin di Balai Raya Ulu Cheka, kelmarin.

Simbolik penyerahan simenfero dan Perasmian Anjung Galeri Warisan Pawang Nong.
Program Motivasi bersama pelajar tingakatan satu hingga lima Sekolah Agama Darul Ekhyail Maarif.
Aktiviti Sukan Rakyat bersama penduduk Kampung Ulu Cheka di Padang Kampung Berau.

“Program ini bertujuan mendedahkan mahasiswa terhadap pengalaman aktiviti sukarela bagi memupuk dan mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti,” katanya.

Sarah Amani berkata, di samping mengadakan kerja-kerja sukarela, program berkenaan bertujuan untuk menanamkan minat terhadap pengetahuan teknologi alaf baru seperti teknologi simenfero khususnya dalam kalangan penduduk kampung bagi melahirkan warga yang dapat berfikiran kritikal terhadap kemajuan teknologi yang semakin pesat.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong di sekitar kampung, malam spiritual Islam, program motivasi kepada anak-anak penduduk kampung, rewang, sukan rakyat, melawat flora dan fauna, simenferro, dan majlis santai bersama masyarakat Ulu Cheka,” katanya.

Beliau berkata, program motivasi yang diadakan merupakan aktiviti yang melibatkan pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima di Dewan Sekolah Menengah Agama Darul Ekhyail Maarif yang bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang halatuju pendidikan mereka pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengetua KTF, Prof. Madya Dr. Roshanida A.Rahman dalam ucapannya berkata, objektif yang ingin dicapai dalam Program Jelajah Srikandi 2017 adalah untuk melahirkan mahasiswa universiti yang prihatin, penuh dengan semangat kesukarelawan dan bersedia untuk mendampingi komuniti  serta masyarakat.

Beliau berharap program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam jangkamasa panjang.

Manakala Haji Mohamad Norzari selaku wakil rasmi Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris berharap program khidmat bakti masyarakat yang melibatkan mahasiswa UTM di kampung  berkenaaan tidak berhenti di situ dan dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

Explore More