JOHOR BAHRU, 16 November 2016 – Seramai 300 peserta menghadiri kolokium kebangsaan pendidik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat negeri Johor yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sabtu lalu.
Pengerusi Induk, Prof Madya Dr Zaiton Abdul Majid berkata, kolokium itu diadakan bagi membincangkan mengenai maklumat, pengalaman serta hasil penyelidikan mengenai isu terkini, cabaran dan strategi untuk memartabatkan pendidikan STEM di Malaysia.
Menurutnya, STEM bertujuan membangunkan budaya sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat dengan mengupayakan potensi individu yang menguasai pengetahuan dan kemahiran saintifik.
“Justeru, usaha pendidikan harus dimulakan daripada peringkat awal generasi pelajar, namun statistik semasa menunjukkan bilangan pelajar yang mengkhusus dalam bidang sains membimbangkan dengan penurunan dicatatkan pada setiap tahun.
“Sekiranya aliran ini berterusan, pastinya negara akan mengalami kesukaran dalam menyediakan rantaian bakat saintis ataupun membudayakan masyarakat yang berorientasikan sains,” katanya.
Beliau berkata, pada kolokium berkenaan inisiatif untuk menggalak dan memperkukuh pendidikan STEM yang dikenalpasti telah di rumuskan sebagai resolusi kolokium dan dikemukakan oleh Gerakan STEM Kebangsaan kepada pihak kerajaan.
“Kolokium ini menyediakan platform untuk meneliti struktur pembangunan professional, pengetahuan, kemahiran dan keupayaan pendidik STEM terutamanya di peringkat sekolah, merancang kaedah meningkatkan minat dan populariti STEM dan mengetengahkan jaringan kerjasama yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan.
“Pelbagai saranan dikemukakan oleh peserta yang terdiri daripada guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pensyarah universiti, kakitangan pejabat pendidikan, wakil industri dan badan kerajaan,” katanya.
Kolokium tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Awam) Datin Paduka Ir. Dr. Hamisah Tapsir diikuti sesi ucaptama oleh ahli Majlis Sains Negara dan Gerakan STEM Kebangsaan Profesor Datuk Dr. Halimaton Hamdan.
“Hasil kolokium akan diselaraskan di peringkat kebangsaan dan diharapkan dapat menyumbang kepada halatuju dan pembentukan polisi kerajaan dalam memajukan bidang STEM yang merupakan teras masa depan untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam forum yang diadakan peserta dapat mendengar saranan dan berinteraksi dengan panel yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Wan Muhamad Saridan Wan Hassan yang mewakili Fakulti Sains UTM, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan, Naib Presiden Kanan, Malaysian Industry-Government Group for High-Technology (MIGHT), Dr. Raslan Ahmad, Pengarah Pusat Pendidikan Kejuruteraan, UTM, Prof. Dr. Khairiyah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Pemasaran, Medini Iskandar Malaysia, Dr. Gerard Kho,.
Forum itu dikendalikan oleh Pengarah Pengurusan Strategi, UTM, Prof. Dr. Shahrin Mohammad sebelum pembentangan resolusi yang dilakukan Dekan Fakulti Sains, UTM Prof. Dr. Norsarahaida S. Amin, selaku penaung program.