April 30, 2024

Search
Close this search box.

Mantan TNC (P) UTM dianugerah gelaran Profesor Emeritus

Dr Ismail menerima watikah gelaran Profesor emeritus dari DYMM Raja ZArith Sofiah.
Dr Ismail menerima watikah gelaran Profesor Emeritus daripada DYMM Raja Zarith Sofiah.

JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2016 – Mantan Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ismail Khailani dianugerah gelaran Profesor Emeritus oleh Canselor UTM Duli Yang Maha Mulia Raja ZArith Sofiah bt Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor di Majlis Konvokesyen UTM Ke-57, hari ini.

Prof. Emeritus Dr. Ismail Kailani dilahirkan di Muar, Johor pada14 November 1950. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Zainab Othman dan dikurniakan lima orang anak.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi, Muar, Johor,dan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar Di Raja, Muar dan seterusnya ke Sekolah Alam Shah, Jalan Cheras di Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pelajar kumpulan pertama dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Matematik dan Diploma Pendidikan pada tahun 1974. Setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran di Ohio University, Athens,Ohio. USA dan memperoleh Sarjana Pendidikan pada tahun 1980 serta Doktor Falsafah dalam Pendidikan Matematik pada tahun 1988.

Dr Ismail telah berkhidmat di UTM selama 42 tahun mulai Jun 1974 sehingga Mac 2015. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pensyarah Matematik di Pusat Pengajian Sains dan telah menyandang beberapa jawatan penting seperti Ketua Jabatan pertama Jabatan Pendidikan Sains dan Teknik, Timbalan Dekan sebanyak tiga kali, dan merupakan antara pengasas utama dan penulis kertas kerja penubuhan Fakulti Sains di UTM.

Beliau saterusnya diberi amanah untuk penubuhan Fakulti Pendidikan di UTM dan sekali lagi menjadi pengerak, penulis utama kertas kerja penubuhan Fakulti Pendidikan dan membentangkannya di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dr Ismail seterusnya telah dipindahkan ke Fakulti Pendidikan pada tahun 1994. Dalam waktu yang sama beliau terlibat secara langsung dalam jawatankuasa penubuhan Pusat Pengajian Siswazah, UTM.

UTM sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau untuk melakukan perubahan dan menambahbaik Sekolah Pendidikan Berterusan Dan Pendidikan Profesional (SPACE) dengan melantiknya sebagai Pengarah pada tahun 1998. Beliau berjaya memantapkan SPACE dengan mengadakan peraturan akademik pengajian separuh masa, membangunkan peraturan, sistem kewangan dan pengurusan berkomputer yang disepadukan. SPACE kini telah melalui proses transformasi yang ketara sehingga berupaya membeli premis sendiri di Taman Universiti.

Berdasarkan pengalaman dan keupayaan beliau membuat perubahan,  penambahbaikan dan mengutamakan kualiti, UTM telah melantik beliau sebagai Ketua Kumpulan Proses Majlis Kualiti UTM-Anugerah Kualiti Perdana Menteri. Beliau sememangnya bergiat aktif dalam berbagai aktiviti kualiti termasuk antaranya audit kualiti dalaman ISO. Berasaskan kertas kerja yang disediakan dan persiapan rapi yang dilakukan,dan setelah beberapa kali diaudit dan dinilai oleh beberapa panel penilai, UTM akhirnya menjadi universiti pertama di Malaysia menerima anugerah Kualiti Perdana Menteri pada tahun1999.

Selepas SPACE melalui proses transformasi yang mengalakan, pihak UTM telah memindahkan beliau untuk menerajui Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) yang pada ketika itu sedang berada diperingkat awal pembangunan sistem dan fizikal. Selaku Dekan RMC beliau terlibat secara langsung dalam meningkatkan aktiviti penyelidikan, perundingan, pengkomersilan, serta meningkatkan dana penyelidikan. Di samping itu pembangunan sistem dan fizikal dirancakkan sehingga RMC berjaya mempunyai sistem pengurusan berkomputer (RADIS) dan berpindah ke kompleks bangunan barunya.

Setelah sekian lama berkhidmat di beberapa pusat dan fakulti saperti FS, SPACE dan RMC, beliau seterusnya telah dilantik menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan (FP) pada 16 Ogos 2002. Di bawah kepimpinan beliau FP telah mengembangkan program pengajian peringkat ijazah pertama, dan juga melonjakkan program pengajian siswazah sehingga FP merupakan fakulti yang mempunyai bilangan pelajar siswazah yang ramai. Pengurusan fakulti terus dimantapkan dan diurus dengan cemerlang sehingga FP menerima Anugerah Kualiti Naib Canselor sewaktu beliau menjadi dekannya.

Sebelum tamat tempoh perkhidmatan sebagai Dekan FP, YB Menteri Pelajaran telah melantik beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) (Pembangunan) UTM pada 7 Disember 2003. Sebagai TNC Pembangunan beliau telah menerajui berbagai Jawatan Kuasa {J/K} dan Kumpulan Kerja peringkat tertinggi universiti yang memberi impak besar kepada universiti, antaranya J/K Kewangan J/K Pemilih, Jawatankuasa Pengurusan, Profesional dan Eksekutif Universiti, Ahli Lembaga Pengarah UTSB, Ahli Lembaga Perolehan Universiti, Ahli Senat Universiti, dan lain lain. Antara pembangunan berskala besar yang berjaya dilaksanakan di UTM sewaktu beliau menjadi TNC Pembangunan ialah projek pembangunan fizikal fasa 4 di bawah Rancangan Malaysia ke-9 yang melibatkan beberapa komplek baru bagi fakulti, perpustakaan, dan juga stadium. Dalam kontek pengurusan tertinggi, beliau pernah menjalankan tugas Naib Canselor ketika NC mengikuti kursus di Havard Universiti selama tiga bulan.

Di luar universiti, beliau aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, akademik, dan juga professional. Beliau pernah menyandang jawatan Yang Dipertua PIBG-SIGS (1990-2000), Yang Dipertua Persatuan Pendidikan Matematik dan Sains Negeri Johor, (1991-2006), Pegawai Pemerintah Pasukan JPA3 – UTM (2004-2005) Supritenden Sukarelawan Polis dan Timbalan Komanden SUKSIS – UTM (2006-2013)

Di peringkat Negara beliau adalah Pemeriksa dan Ketua Pasukan Pemeriksa Kertas Matematik, SPM

Di peringkat antarabangsa, beliau adalah ahli National Council of Teachers of Mathematics (NCTM) USA, dan dipilih menjadi ahli Kappa Delta Pi, sebuah Honors Society dalam Bidang Pendidikan di USA

Beliau telah dianugerahkan Anugerah Jasa Bakti UTM (1995), Anugerah Kemasyarakatan UTM (1996), Anugerah Khidmat Cemerlang UTM (1997). Kesatria Mangku Negara (2002), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2004) dan Anugerah Jasa Setia UTM (2006).

Explore More