April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Johan kategori EduTourism di Pameran Higher Education Week 2015

JOHOR BAHRU, 16 Ogos 2015 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul hadiah wang tunai RM3,000 apabila muncul johan EduTourism bagi Anugerah Penghargaan Pusat Transformasi Komuniti (UCTC), Jumaat lalu.

Pertandingan itu diadakan sempena Pameran Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia (HEWM) 2015, bermula 13 Ogos lalu yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh.
Unit Kampus Ekopelancongan, UTM yang mempertaruhkan program ekopelancongan yang bertemakan “UTM Visit My Campus 2015” berjaya mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Unit Kampus Ekopelancongan, UTM menawarkan 11 pakej edupelancongan yang telah berjaya menambat hati panel juri menerusi kerjasama dengan tiga agen pelancongan tempatan iaitu SN Vacations Sdn Bhd, Prima Sierra Holidays Sdn Bhd dan Masrina Travel Sdn Bhd.

Pakej ekopelancongan UTM turut dimasukkan di dalam Buku “Malaysia 101 Edutourism Packages” bersama universiti awam lain yang diterbitkan secara bersama oleh KPT dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Buku tersebut telah dilancarkan pada 15 Ogos 2015 bersempena Majlis Pelancaran Pakej 101 Edutourism Malaysia di Dataran KPT, Putrajaya.
Pada HEWM 2015, sebanyak 11 bidang dipertandingkan yang bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada program komuniti-universiti yang cemerlang dalam mengaplikasikan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu Impak Tinggi, Kos Minima (Keberkesanan Kos), Pelaksanaan Pantas dan Mampan.

Aktiviti yang dijalankan bertujuan menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat dari segi sosio-ekonomi, pendidikan, kesihatan, persekitaran, teknologi dan lain-lain.

Sebanyak 150 pencalonan telah diterima dari pelbagai pihak untuk 11 bidang tersebut dan hanya 25 sahaja yang telah berjaya disenaraipendek sebagai finalis.

Explore More