JOHOR BAHRU, 3 Ogos 2015 – Fokus pada permainan dan giat jalani latihan adalah persediaan terbaik bagi memenangi sesuatu pertandingan sukan itu.
Ketua Pasukan Bola Tampar (Wanita) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ho Xiau Hui berkata selain dari latihan, disiplin diri yang baik juga perlu diamalkan bagi menjamin stamina yang baik sepanjang permainan berlangsung.
Pasukan Bola Tampar Wanita UTM berjaya menyumbangkan pingat emas kepada universiti tersebut dalam acara Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 yang sedang berlangsung kini.
Usaha gigih pasukan itu telah membuahkan kejayaan apabila menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) peringkat suku akhir seterusnya mengalahkan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan markah 3-0 dan menjinakkan pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan agreget 3-1 pada peringkat akhir.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan berazam akan meneruskan penguasaan UTM dalam acara sama di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang bakal berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kampus Putrajaya pada April 2016,” katanya lagi.
Ho Xiau Hui,23, menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Kimia dan kini berada dalam tahun 3 pengajian di UTM.
Bercakap mengenai masa depan pasukan Bola Tampar Wanita UTM, Ho Xiau berkata cabaran yang berat bakal dilalui oleh pasukan ini di SUKIPT 2016 nanti.
“Buat masa ini pasukan saya mempunyai 12 orang pemain tetapi 2 daripadanya tidak lagi dapat bermain bersama UTM memandangkan akan tamat pengajian pada tahun ini.
“Dalam masa yang sama juga, pasukan lawan daripada universiti lain akan menerima mahasiswa baru dan akan memberikan penekanan berterusan dalam latihan. Perkembangan ini sudah tentu memberikan persaingan hebat kepada pasukan kita,” katanya lagi.