April 24, 2024

Search
Close this search box.

KENYATAAN AKHBAR UTM BERKENAAN LAPORAN PENGAUDITAN PRESTASI

KENYATAAN AKHBAR UTM BERKENAAN LAPORAN PENGAUDITAN PRESTASI TERHADAP PENGURUSAN PEROLEHAN – UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Pada 27 April 2015, iaitu selepas selesai semua proses audit di Universiti Teknologi Malaysia, pihak Jabatan Audit Negara (JAN) telah membangkitkan 30 isu yang ditemui. Universiti juga telah memberikan ulasan/tindakan terkini terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Ini termasuklah tindakan pembetulan dan penambahbaikan untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Pengauditan yang dijalankan oleh JAN mendapati secara keseluruhannya pengurusan perolehan UTM adalah MEMUASKAN. Selepas 3 sesi penjelasan, pihak JAN telah menyenaraikan lapan (8) isu yang perlu diambil tindakan oleh UTM seperti mana di paparan web rasmi Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2014.

1. Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia telah memberi komitmen untuk mengatasi sebarang kelemahan yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Kesemua lapan (8) isu telah diambil tindakan oleh UTM secara proaktif. Surat teguran juga telah dikeluarkan kepada pihak yang terlibat bagi memastikan segala peraturan dipatuhi dan perkara yang sama tidak berulang. Pemantauan perolehan dan pengurusan projek Universiti juga dilaksanakan secara berkala.

2 Perbezaan Harga Bagi Perolehan Toner

(a) Dalam laporan audit yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara menyatakan jumlah perolehan toner dari tahun 2012 hingga 2014 adalah sebanyak RM1,322,160 yang dibuat oleh 57 buah PTJ. Jabatan Audit Negara mendapati perbezaan harga toner bagi pembelian berjumlah RM56,746 antara pembekal adalah antara 7.7% dan 91%.

(b) Untuk makluman, kesemua pembelian toner adalah mengikut peraturan perolehan Universiti kecuali pembelian melalui satu pesanan tempatan bagi 28 unit toner genuine berjumlah RM9,920 yang dibeli oleh Fakulti Sains seperti yang dibangkitkan oleh pihak JAN. Perbezaan harga yang dilaporkan oleh JAN hanya melibatkan pembelian di Fakulti Sains sahaja.

2 (c) Universiti telah mengambil tindakan terhadap perkara ini seperti mana di perenggan 1.

3. Projek Design and Build for Construction of Administration Building for Faculty of Petroleum and Renewable Energy Engineering (FPREE) Belum Disiapkan

Pihak JAN menyatakan di dalam laporan mereka bahawa UTM telah mengambil tindakan yang sesuai untuk mempercepatkan proses pembinaan. Projek telah diuruskan mengikut peraturan kontrak dan peraturan perolehan kerajaan sedia ada. Dokumen tender bagi menyambung baki kerja telah dijual pada 7 Mei 2015 dan tarikh tutup tender pada 6 Julai 2015. Tarikh siap kerja adalah dijangkakan pada 8 Ogos 2016.

4. Pihak UTM ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara diatas pengauditan yang dijalankan dan penemuan yang dibuat bagi membolehkan UTM mengambil langkah memperbaiki kelemahan. UTM sangat memahami keprihatinan semua pihak terhadap kelemahan yang berlaku. UTM secara berterusan akan memastikan segala kelemahan diatasi melalui pengurusan yang beramanah dan cekap, serta tahap akauntabiliti dan integriti yang tinggi.

NAIB CANSELOR
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
22 Jun 2015

Explore More