April 25, 2024

Search
Close this search box.

Perkasakan aktiviti Penyelidikan- Prof Raha

JOHOR BAHRU, 30 Mac 2015 – Agenda pemantapan bagi aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di setiap Institusi Pengajian Tinggi haruslah diperkasakan dari semasa ke semasa.
Aktiviti penyelidikan juga haruslah ditetapkan sebagai bukan pilihan di setiap Institusi Pengajian Tinggi bagi membolahkan kesarjanaan ilmu dapat diperkasakan.
Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim berkata penyelidikan tidak sahaja berkait rapat dengan kesarjanaan ilmu malah lebih dari itu.
“Penyelidik bukan sahaja berfungsi untuk mengajar dan menyebarluas ilmu yang dimiliki tetapi juga berfungsi sebagai penyelesai masalah kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penutup Kolokium 2011 Geran Universiti Penyelidikan (GUP) anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) di Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Bioperubatan (FBME).
Turut hadir dalam majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah RMC, Prof. Dr. Ruzairi Hj Abd. Rahim
Menurutnya lagi, penyelidik yang berkualiti harus mempunyai empat elemen iaitu Relevan, Dihormati (Respected) dan menjadi tempat Rujukan (Referred).
“Relevan, contohnya aktiviti penyelidikan mengenai banjir. Hasil penyelidikan yang bakal diperolehi boleh menghasilkan prosedur pengurusan banjir efektif dan boleh digunakan pada masa hadapan.
“Dihormati pula adalah mendapat penghormatan dari komuniti penyelidikan lain manakala Rujukan pula adalah menjadi tempat bagi penyelidik lain khasnya yang baru menceburkan diri dalam dunia penyelidikan,” katanya.
Beliau kemudiannya menyampaikan hadiah kepada 5 pemenang Anugerah Pembentang Terbaik dan 10 pemenang bagi Anugerah Poster Terbaik Akademik.
Penganjuran Kolokium Geran Universiti Penyelidikan Tier 1 dan Flagship Fasa 2011 yang julung kalinya diadakan dengan tema “Membudayakan Penyelidikan” adalah bagi mendukung hasrat Universiti dalam menerapkan budaya penyelidikan terutamanya memperkukuh kepemimpinan penyelidikan di kalangan penyelidik muda dan mahasiswa untuk mencapai tahap penyelidikan yang setanding dengan penyelidik-penyelidik senior.

Prof. Raha (dua kiri) menyampaikan cek kepada salah seorang peserta di akhir Program GUP 2011 Colloqium yang berlangsung di Blok FBME, kampus Johor Bahru.
Prof. Raha (dua kiri) menyampaikan cek kepada salah seorang peserta di akhir Program GUP 2011 Colloqium yang berlangsung di Blok FBME, kampus Johor Bahru.

Explore More