JOHOR BAHRU, 9 Mac 2015 – Seramai 80 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjadi mangsa banjir di kawasan Pantai Timur Semenanjung telah menerima bantuan kewangan masing-masing di satu majlis ringkas anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM).
Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Astana, Kolej Tunku Canselor (KTC), UTM Johor Bahru.
Pengarah Program ‘UTM Care’ Aervina Misron berkata pihaknya telah melakukan kutipan wang selama 19 hari bagi membantu para pelajar tersebut.
“Kami mula mengutip sumbangan pada 29 Disember 2014 sehinggalah 16 Januari 2015 di pelbagai lokasi tumpuan warga kampus.
“Mungkin sesetengah pihak mengatakan agak terlewat untuk menghulurkan bantuan tetapi kami tetap bersyukur kerana dapat membantu,”katanya.
Aervina menegaskan bahawa ketika bencana itu melanda negara hujung tahun lepas, semua mahasiswa UTM sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir dan oleh kerana itu, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu.
Kutipan selama 19 hari itu telah dapat mengumpulkan sebanyak RM 20,600.00 dengan setiap penerima menerima RM250.00 seorang.
Menurutnya lagi, selain bantuan kewangan, UTM Care juga turut terlibat dalam menyumbang tenaga dalam aktiviti sukarelawan banjir dengan memberikan bantuan pembersihan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Antara tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk berkongsi kepedihan dan kepayahan bersama mangsa-mangsa yang terlibat di samping menerapkan nilai-nilai murni ke dalam jiwa mahasiswa UTM,” katanya.
UTM Care adalah gabungan kerjasama yang terdiri dari ahli MPM, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan juga Kelab-kelab Mahasiswa di sekitar kampus Johor Bahru.
Kesemua sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Hj Dahari Derani, wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Prof Dr Mohd Ismail Abdul Aziz.