Adalah dimaklumkan bahawa Senat Universiti Teknologi Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak lagi menawarkan Program Diploma Sepenuh Masa mulai kemasukan sesi 2015/2016.Sehubungan itu UTM tidak menawarkan sebarang tempat kepada lepasan SPM dalam sistem UPU. Program sarjana muda sepenuh masa yang ditawarkan oleh UTM di dalam sistem UPU adalah terbuka kepada empat saluran kemasukan, iaitu lepasan STPM, lepasan Matrikulasi, lepasan Asasi IPTA dan lepasan Diploma.Pelajar lepasan SPM yang berminat untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda UTM digalakkan terlebih dahulu mengikuti salah satu dari saluran kemasukan tersebut bagi memenuhi syarat kemasukan UTM.
Keputusan penamatan program Diploma ini diambil selari dengan peranan UTM sebagai Universiti Penyelidikan yang menumpukan kepada penawaran program akademik dan pengambilan pelajar peringkat pasca ijazah dan sarjana muda sepenuh masa dan bukannya peringkat diploma. Program diploma UTM sebaliknya akan ditawarkan melalui program di kolej kerjasama dan program separuh masa di bawah pengurusan UTMSPACE. Senat Universiti masih bertanggungjawab terhadap jaminan kualiti program Diploma.
Tindakan ini diambil setelah perbincangan dibuat mengenai keupayaan sumber pendidikan (kewangan, sumber manusia dan fasiliti) di mana Program Diploma Sepenuh masa sedang dilaksanakan di Kampus UTM KL. Universiti sedang membangunkan Kampus UTM KL sebagai Kampus Pasca Siswazah. UTM juga sedang mengkaji untuk melaksanakan Program Asasi bagi lepasan SPM di samping membuat autonomi kemasukan untuk sesi akan datang (2016/2017) seperti yang telah dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) menggariskan ‘Graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) Berkualiti’ sebagai Lonjakan Ke-4 di mana kolej vokasional, politeknik, kolej komuniti dan empat universiti teknikal awam (MTUN) memainkan peranan utama menawarkan program diploma kemahiran, pengajian tinggi, teknikal dan vokasional yang membawa kepada suatu pekerjaan sebagai titik akhirbagi menyediakan tenaga separa mahir Negara yang sangat diperlukan pada masa kini.