Disember 19, 2024

Pengaruh Media Mampu Corak Tanggapan Umum – Naib Canselor UTM

JOHOR BAHRU, 18 November 2014 – Pengaruh media yang berkeupayaan mencorak persepsi dan tanggapan umum sangat membantu dalam pembinaan imej yang tersendiri bagi sesebuah organisasi.
Keupayaan ini juga berfungsi sebagai ‘dinding’ yang kukuh bagi sesebuah organisasi itu untuk mengekalkan disiplin dan mutu kerja yang tinggi bagi setiap warganya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar di dalam ucapan aluannya di Malam Mesra Media 2014 yang berlangsung di Hotel Thistle Johor Bahru berkata peranan pihak media sangat besar terhadap universiti.
“Media banyak memainkan peranan dalam membantu UTM memperkukuhkan statusnya sebagai Universiti Penyelidikan (Research University) atau RU.
“Selain itu, media arus perdana juga memainkan peranan yang aktif dalam memperkenalkan universiti ini dan juga produk hasil penyelidikannya kepada khalayak umum,” katanya.
Prof. Wahid juga memuji media arus perdana dalam mewar-warkan pencapaian cemerlang mahasiswa UTM di dalam pelbagai lapangan.
“Di samping pencapaian akademik dan penyelidikan, pihak media juga telah melakukan yang terbaik dalam memberitahu komuniti umum mengenai kehebatan mahasiswa UTM dalam pelbagai lapangan.
“Saya berharap hubungan baik yang sedia terjalin dapat dikekalkan demi manfaat kedua-dua pihak di masa hadapan,” katanya lagi.
Turut menghadiri majlis adalah Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Prof Wahid Omar (berjaket hitam) bergambar dengan wakil media pada Malam Mesra Media 2014 UTM yang berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Prof Wahid Omar (berjaket hitam) bergambar dengan wakil media pada Malam Mesra Media 2014 UTM yang berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Explore More