JOHOR BAHRU, 2 September – Sebanyak 5 nilai perlu disematkan di dalam diri setiap graduan yang menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan jayanya pada masakini.
Kelima-lima nilai penting ini perlu ada bagi membolehkan para graduan menjadi modal insan yang berkualiti sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara yang seimbang.
Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan Minggu Mesra Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2014/2015 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kampus Johor Bahru telah menggariskan kelima-lima perkara tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Naib Canselor, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Prof. Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz.
Beliau berkata graduan yang dikeluarkan oleh universiti Malaysia haruslah mempunyai 5 C iaitu Critical (Pemikiran Kritikal), Creative (Kreatif), Communicator (Komunikator Efektif), Collaborative (Kolaboratif) dan Culture (Adaptasi Budaya).
“Kelima-lima ciri ini amat kritikal kerana graduan akan menjadi pekerja dan juga sebagai rakyat yang bakal berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan.
“Sebagai bakal modal insan yang amat diperlukan untuk pembangunan negara, mereka juga perlu matang dan berkemahiran tinggi bagi menghadapi kepelbagaian yang serba kompleks di abad mendatang,” katanya.
Khaled berkata peranan universiti adalah tempat melahirkan para pemimpin dan juga modal insan yang berkualiti untuk kegunaan pada masa akan datang.
“Di universiti, mahasiswa diberikan kebebasan bagi untuk membentuk sahsiah diri yang berdisiplin dan juga pengisian jiwa dengan nilai-nilai murni.
“Ini bagi membolehkan mahasiswa ini apabila bergraduat mampu berfikir dengan waras dan stabil serta mampu berinteraksi dengan baik,” katanya lagi.
Khaled juga turut mengingatkan para mahasiswa agar menyokong dasar kerajaan sedia ada dalam meneruskan hasrat aktiviti pendidikan tinggi negara.
“Perlu diambil perhatian bahawa hanya di Malaysia sahaja yang menawarkan pinjaman pengajian tinggi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) yang memberikan saraan yuran pengajian dan juga wang poket keperluan diri mahasiswa.
“Kerajaan juga mengambil dasar memberikan subsidi kepada pengajian tinggi dalam negara. Kita ambil contoh jika melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di mana kosnya mungkin mencecah kepada RM30, 000.00 tetapi hanya RM7, 800.00 di IPTA misalnya di UTM,” katanya lagi.
Jesteru itu, mahasiswa tidak harus lupa dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan polisi yang sedia ada bagi kemudahan generasi yang akan datang.
Seramai 2,331 mahasiswa baru UTM bagi sesi akademik 2014/2015 hadir bagi mendengar amanat yang diberikan oleh Menteri Besar Johor ini.

Khaled (dua kiri) beramah mesra dengan mahasiswa baru UTM sesi 2014/2015 sambil diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Datuk Dr Wahid Omar (berseragam tentera) di majlis pembukaan Minggu Mesra Mahasiswa 2014 di Dewan Sultan Iskandar.

Khaled (dua kiri) beramah mesra dengan mahasiswa baru UTM sesi 2014/2015 sambil diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Datuk Dr Wahid Omar (berseragam tentera) di majlis pembukaan Minggu Mesra Mahasiswa 2014 di Dewan Sultan Iskandar.