JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Pusat Komunikasi Wayarles (WCC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diberikan pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengiktirafan yang diberi adalah dalam bidang ‘Nic Antenna and Propagation for 5G Wireless Communications.’
Pensyarah Kanan WCC, Encik Chua Tien Han berkata Program HiCoE anjuran KPM adalah bertujuan untuk membantu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mencapai kecemerlangan dalam bidang penyelidikan.
“Pengwujudan HiCoE adalah selaras dengan Teras 3 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu memperteguhkan Penyelidikan dan Inovasi dengan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.”
“Di bawah program ini, setiap Pusat Kecemerlangan (CoE) yang terpilih sebagai HiCoE akan mendapat beberapa faedah seperti bajet mengurus bagi menjana aktiviti akademik, penyelidikan dan pembelajaran yang berkualiti tinggi,” katanya.
Selain itu, HiCoE juga diberikan perolehan peralatan makmal terkini kearah mendapatkan pengiktirafan/akreditasi seperti Good Laboratory Practice (GLP) dan ISO17025.
“Setiap HiCoE harus menyediakan Pelan Tindakan yang memperincikan segala aktiviti yang berpotensi untuk melonjakkannya.”
“HiCoE tersebut kemudiannya akan dipantau dengan rapi oleh KPM melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan berdasarkan Pelan Tindakan yang disediakan. Laporan prestasi perlu dikemukan oleh HiCoE berkenaan setiap enam bulan kepada pihak kementerian untuk diteliti bagi tujuan penentuan penyaluran dana yang seterusnya,” katanya.
Antara syarat yang ditetapkan bagi pencalonan penarafan ini adalah Pusat Kecemerlangan terbabit mestilah ditubuhkan oleh IPT yang berkenaan dan diiktiraf oleh Senat dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
“Pusat Kecemerlangan tersebut juga mestilah telah beroperasi sebagai Pusat Tanggungjawap (PTJ) dengan bajet tersendiri selama 5 tahun dan mempunyai rekod mengenai segala aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tempoh tersebut.
“Di samping itu, Pusat tersebut juga haruslah mempunyai sekurang-kurangnya lima orang staf akademik sepenuh masa berjawatan tetap dan juga perlu menyerlah dalam satu bidang tujahan,” katanya.