Disember 27, 2024

KPTN ‘Jom Masuk U’ 2014 selaras usaha Kerajaan beri PendidikanTinggi kepada rakyat Malaysia – TPM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Penganjuran Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) ‘Jom Masuk U’ 2014 adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi memberikan peluang pendidikan tertinggi kepada semua golongan masyarakat.
Inisiatif anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini juga adalah satu usaha terbaik dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di mata rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam ucapannya berkata melalui penganjuran program ‘Jom Masuk U’ ini, lepasan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan setarafnya boleh mendapat pendedahan secukupnya mengenai peluang-peluang pendidikan tinggi dalam negara.
Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan penutupan rasmi KPTN ‘Jom Masuk U’ 2014 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Turut hadir dalam program itu adalah Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar.
“Dalam kita memacu pembangunan, kemajuan dan transformasi negara, kita juga perlu memastikan setiap rakyat Malaysia yang layak tidak tercicir dari mendapat hak untuk mendapat pendidikan tertinggi.
“Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, pendidikan amatlah penting dan kritikal bagi Malaysia dan kerajaan amat komited dan serius melakukan inovasi menyeluruh demi membawa negara ke tahap kecemerlangan,” katanya.
Tegasnya lagi, pendidikan tinggi merupakan pemacu dalam pembentukan modal insan berinovatif dan berdaya saing dan usaha bagi memastikan keutuhan peranan dalam pembentukan budaya ilmu itu sendiri perlu dipertingkatkan.
“Pembangunan modal insan yang terancang dan usaha meningkatkan bina upaya generasi kini amat penting bagi melahirkan guna tenaga yang cemerlang, terlatih, sepadan dan mencukupi bagi mengisi kemajuan negara menjelang 2020,” katanya.
KPM juga amat prihatin dan komited untuk membantu golongan masyarakat seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli bagi mendapat tempat yang sewajarnya dalam pendidikan tinggi melalui Syarat Am kemasukan dan Syarat Khas program pengajian tanpa persaingan biasa.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan Malaysia juga menggesa golongan ibu bapa dan pelajar terbabit agar menggunakan peluang sempena penganjuran acara ini bagi mendapatkan maklumat yang sewajarnya.
“Dengan berlangsungnya program ‘Jom Masuk U’ ini, saya berharap pelajar, ibu bapa dan segenap lapisan masyarakat akan mengambil peluang baik ini untuk meneroka bidang-bidang yang sesuai untuk melanjutkan pengajian tinggi kelak,” katanya.
Program KPTN 2014 ini telah bermula pada bulan Mac dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi tuan rumah pertama pada 28-29 Mac diikuti pada 5-6 April di Cityone Megamall, Kuching, Sarawak dan juga di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tarikh yang sama.
Seterusnya pada 12-13 April, program ini berlangsung di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah dan juga di Kampus Induk, Pauh Putera, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penutup di UTM pada 16-17 Ogos 2014.
Sebanyak 180 buah booth telah disediakan untuk para peserta yang terdiri dari 100 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta, Bahagian Matrikulasi, Bahagian Pendidikan Guru serta Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian KPM, Yayasan Negeri dan Agensi Pembiayaan Pendidikan, Bank Simpanan Nasional dan lain-lain agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Program KPTN ini telah dimulakan sejak tahun 2005 dengan konsep menyebarluaskan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan pendidikan dengan mendekati masyarakat setempat di bawah ‘satu bumbung’ iaitu KPM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kiri) sewaktu melawat booth UTM di KPTN ‘Jom Masuk U’ 2014 di kampus Johor Bahru.  Turut sama Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr Wahid Omar (dua kanan) dan Ketua Setiausaha 2 KPM, Prof. Ir. Datuk Seri Dr Zaini Ujang (dua kiri)
Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kiri) sewaktu melawat booth UTM di KPTN ‘Jom Masuk U’ 2014 di kampus Johor Bahru. Turut sama Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr Wahid Omar (dua kanan) dan Ketua Setiausaha 2 KPM, Prof. Ir. Datuk Seri Dr Zaini Ujang (dua kiri)

Explore More