Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

PTJ Cemerlang disaran kongsi kepakaran masing-masing – Naib Canselor

JOHOR BAHRU, 10 April – Pusat Tanggungjawap (PTJ) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memenangi sebarang Anugerah Perkhidmatan digesa untuk berkongsi kepakaran dengan pusat yang lainnya.

Ini adalah bagi menjamin kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan bersama dengan PTJ lain yang memerlukan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar berkata masih banyak aduan mengenai kompetensi pusat-pusat tanggungjawap yang masih tidak cekap dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawap yang telah diamanahkan.

“Saya masih menerima aduan tentang ketidakcekapan sesetengah PTJ dalam mengendalikan amanah yang diberikan.  Ini seharusnya tidak berlaku memandangkan kita telah mencapai tahap universiti berkelas dunia.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru supaya kepakaran mana-mana PTJ yang telah memperolehi anugerah kecemerlangan dikongsi bersama agar kompetensi yang rendah itu dapat diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan bulanan kakitangan universiti berkenaan di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim kampus Johor Bahru.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antaranbangsa, Prof. Dr. Rose Alinda Alias, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

Prof. Wahid juga menekankan kepada kakitangan universiti agar sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas.

“Keikhlasan dalam menjalankan tugas juga penting dan kita tidak seharusnya menganggap tugasan itu sebagai beban malah ia adalah amanah yang harus digalas dengan sebaiknya,” tegasnya lagi.

Prof. Wahid kemudian menerima sumbangan cek tabung endowmen UTM bernilai RM1000.00 dari Kelab Pembantu Am Pejabat (KPAP) yang diserahkan oleh Pengerusi kelab itu, M. Zulkafli Mohd. Hanafiah.

Explore More