April 26, 2024

Search
Close this search box.

Yayasan Raja Zarith biayai aktiviti kesarjanaan

DYMM Raja Zarith Sofiah bertitah di majlis pelancaran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

KUALA LUMPUR, 28 November: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah melancarkanYayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor bagi menjana dana untuk membiayai pelbagai aktiviti pendidikan dan kesarjanaan di dalam dan luar negara.

Yayasan Raja ZarithSofiahNegeri Johor diwujudkan sebagai sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan untuk mengumpul dana bagi membiayai pelbagai aktiviti pendidikan dan kesarjanaan dengan mensasarkan jumlah endowmen sebanyak RM60 juta.

Idea menubuhkan Yayasan Raja Zarith SofiahNegeri Johor telah dicadangkan selepas DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandardan DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan dengan cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pihak, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dana yang diperolehi oleh yayasan ini akan disalurkan untuk membiayai operasi Zarith Sofiah Global Centre for Islamic Studies, Lehigh University, Amerika Syarikat.

Manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk membiayai program-program pendidikan yang bersesuaian dengan objektif penubuhan yayasan berkenaan.

Pelancaran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor diadakan di UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sebagai permulaan, yayasan ini akan bekerjasama dengan university terkemuka di dalam dan luar Negara bagi menjalankan pelbagai penyelidikan dan memberikan gambaran yang tepat mengenai pelbagai perspektif terhadap Islam kepada masyarakat seluruh dunia.

Secara tidak langsung yayasan ini akan dapat memberikan imej baru mengenai Islam di Malaysia di kalangan masyarakat global dan meningkatkan nama baik institusi Diraja Johor.

Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 24 Julai 2012.

Buat sementara, UTM akan menjadi secretariat kepada yayasan berkenaan sehingga penubuhan dan pengurusannya telah mantap dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang dilantik sebagai Setiausaha.

Manakala Pro Canselor UTM Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan Haji Salleh, Setiausaha kerajaan negeri Johor Dato’ Haji Obet Tawil dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Dato’ Abdul Rahim Ramli sebagai Pemegang Amanah.

Explore More