JOHOR BAHRU, 1 Ogos 2012 : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan Kempen Sumbangan Endowmen UTM Pakej Ramadhan dan Syawal selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya melakukan amal jariah sempena bulan yang mulia.
Langkah berkenaan bagi meningkatkan dana Endowmen UTM agar lebih ramai mahasiswa dapat menikmati kemudahan yang disediakan, selain menyediakan pelbagai prasarana untuk merancakkan aktiviti kesarjanaan di UTM seperti makmal termaju dan geran penyelidikan.
Sebagai galakan, mereka yang menyumbang melebihi RM10 ribu berpeluang untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama Canselor UTM dan Pegawai Kanan UTM.
Bagi penderma yang menyumbang antara RM5,001 dan RM10 ribu akan mendapat undangan sebagai VIP untuk menghadiri tiga majlis rasmi anjuran UTM, RM1,001 hingga RM5,000 akan menerima cenderamata khas universiti pada majlis rasmi dan kurang dari RM1,000 akan menerima cenderamata penghargaan dari UTM.
Di samping itu, mereka yang memberi sumbangan layak mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendqapatan.
Tabung Endowmen UTM diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Naib Canselor Profesor Datuk Dr Zaini Ujang sebagai inisiatif UTM memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang dan melaksanakan aktiviti kesarjanaan tanpa terlalu bergantung kepada geran kerajaan.
Sehingga kini sebanyak RM 40 juta telah berjaya dikumpul menerusi sumbangan syarikat korporat dan persendirian, Lembaga Pengarah, alumni dan staf UTM, sumbangan buku, persatuan pelajar dan orang perseorangan.
Biasiswa Endowmen UTM telah diperuntukkan kepada 202 pelajar cemerlang berjumlah RM12 ribu mulai 2011.