Mei 7, 2024

Search
Close this search box.

Kerusi roda hidrogen ke Eropah

JOHOR BAHRU 16 Nov. – Syarikat pengedar teknologi sel bahan api, Horizon FC Malaysia Sdn. Bhd. (Horizon Malaysia), bakal memasarkan kerusi roda berkuasa hidrogen buatan tempatan di beberapa negara Eropah tahun depan.

Pengarahnya, Joseph Koh I Shen berkata, kerusi roda berkuasa hidrogen yang pertama seumpamanya dibangunkan di negara ini sudah pun mendapat permintaan dari negara-negara berkenaan.

Menurutnya, prototaip kerusi roda yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama syarikatnya itu akan diberi kepada sebuah syarikat di Switzerland untuk tindakan selanjutnya.

”Syarikat di Switzerland itu merupakan syarikat pengedar kerusi roda dan ia telah pun menyatakan minatnya terhadap produk yang kita bangunkan yang dilihat mampu menambah pilihan kepada pelanggannya.

”Selain itu, kerusi roda tersebut juga mempunyai potensi untuk dipasarkan ke negara-negara yang mempunyai stesen hidrogen seperti di Norway, Jerman, Jepun, Korea dan Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau ditemui semasa Pameran Seni Industri dan Teknologi (Inatex) 2011, platform untuk para penyelidik UTM mempamerkan produk penyelidikan mereka di Dewan Sultan Iskandar UTM selama tiga hari.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM yang juga penyelidik produk itu, Dr. Saharudin Haron berkata, kerusi roda berkuasa hidrogen itu dibangunkan sejak enam bulan lepas.

Tambahnya, kerusi roda tersebut yang juga mesra alam itu digerakkan menggunakan kuasa hidrogen dan mampu mencecah jarak 72.4 kilometer iaitu selama 11 jam sekali cas berbanding yang digunakan sekarang.

”Kerusi roda yang ada sekarang digerakkan menggunakan motor dan ia hanya mampu pergi sejauh 22.4 kilometer dan boleh bertahan selama tiga jam sahaja dengan sekali cas,” ujarnya.

Explore More