Mei 6, 2024

Search
Close this search box.

Konvokesyen ke-47: UTM sasar RM1.1 bilion untuk Tabung Endowmen

 

24 September : – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dato’ Ir Dr Zaini Ujang mengajak semua graduan dan alumni UTM, ibubapa, dermawan, dan pendokong UTM supaya sama-sama menghulur sumbangan kepada Tabung Endowmen bagi mencapai sasaran sebanyak RM1.1 billion pada 2025.

Menurutnya, sumbangan Endowmen adalah sebagai tanda cinta dan komitmen mereka kepada UTM yang bertujuan menyediakan dana bagi memajukan aktiviti akademik di UTM seperti penyediaan biasiswa berprestij, dana awal Kursi Profesor, penajaan makmal dan aktiviti akademik berimpak tinggi.

Ketika kini dana terkumpul Tabung Endowmen telah mencecah lebih RM15 juta yang akan digunakan untuk melaksanakan tiga program utama iaitu biasiswa endowmen sebanyak RM1 juta pada sesi akademik 2011/2012.

Seramai 100 orang mahasiswa sarjana muda yang mempamerkan prestasi akademik cemerlang akan menerima biasiswa bernilai RM10 ribu setahun merupakan yang tertinggi yang pernah diberikan oleh institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Selain itu, UTM akan menaja 10 kursi Profesor endowmen dengan perbelanjaan sebanyak RM7 juta dalam tempoh tiga tahun dan program khas membina makmal termaju, dewan kuliah dan geran penyelidikan RM4.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Jumlah endowmen juga adalah salah satu petunjuk prestasi tentang kecemerlangan sesebuah universiti.

“Universiti Harvard misalnya memiliki endowmen lebih Dollar Amerika 36 billion sebelum krisis kewangan 2009.  Sementara National University of Singapore memiliki Dollar Singapura 1.6 billion, Nanyang Technological University Dollar Singapura 720 juta,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Konvokesyen ke-47 UTM pagi tadi.

Explore More