Disember 9, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Azida Shaharuddin | Berita Harian Online

2011/09/26
JOHOR BAHRU: Sikap sering bertanya dan tidak segan silu yang dipraktikkan sejak di bangku sekolah hingga menjejakkan kaki di menara gading membolehkan anak pasangan penoreh getah, Mohd Ariff Admon, 24, muncul antara lapan penerima Anugerah Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena Majlis Konvokesyen ke-47 universiti itu.

Ariff yang berasal dari Felda Pemanis 2, Segamat dan berkelulusan Sarjana Sains Matematik dari Fakulti Sains UTM, juga antara 74 penerima Anugerah Pelajar Terbaik Pasca Siswazah universiti itu.Berkongsi rahsia kejayaannya yang mengikuti pengajian selama setahun setengah itu, beliau menekankan disiplin dengan penyelia adalah asas penting untuk mencapai kejayaan dalam bidang pengajian.Anak kelima daripada enam beradik itu yang memilih mod penyelidikan, berkata penyelianya, Dr Sharidan Shafiee banyak membantu terutama dalam memberikan bimbingan dan sokongan kepadanya selain keluarga.

Jika kita buat penyelidikan, kita kena disiplin. Sepanjang pengajian ini, saya sering berhubung dengan penyelia kerana tanpa bimbingan Dr Sharidan memang sukar untuk meneruskan penyelidikan yang dijalankan, tambahan lagi banyak perkara yang kita tidak tahu dan memerlukan panduan.

Tidak kira siang mahupun malam, Dr Sharidan mudah dihubungi dan menjawab segala pertanyaan, di samping membantu memberikan sumber rujukan terkini. Yang penting usaha kita rajin bertanya kepada penyelia, sekali gus menjadikan penyelidikan lebih menarik, katanya yang kini mengajar pengajian Matematik di Fakulti Sains universiti berkenaan.

Selain itu, katanya, beliau juga bersyukur bapa, Admon Ahmad, 61 dan ibunya, Jaliah Sulkiman, 52, sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Mereka tidak jemu memberikan kata-kata semangat selain berdoa saya mencapai kejayaan pada hari ini, katanya yang menerima anugerah Pelajar Terbaik Pasca Siswazah universiti itu disampaikan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Profesor Dr Rose Alinda Alias serta Anugerah Pro-Canselor.

Sementara itu, seorang lagi penerima luar negara Anugerah Pelajar Terbaik Pasca Siswazah UTM berkelulusan Doktor Falsafah (Sains Komputer), Sultan Noman Qasem, 31, dari Yemen, berkata beliau gembira dengan pencapaiannya sepanjang pengajian di negara ini sejak lima tahun lalu, dan berharap dapat menyumbang kepada negaranya apabila pulang kelak.

Selain menerima anugerah terbabit, Sultan turut menjadi antara empat penerima Anugerah Canselor UTM.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, rakyat negara ini patut bersyukur dengan keadaan negara yang aman dengan suasana mesra pendidikan, berbanding negaranya yang kini bergolak akibat tunjuk perasaan.

Pendidikan dan pelajaran penting kerana ia menentukan masa depan kita. Kini, saya menjadi antara tenaga pengajar di universiti ini Saya berharap akan dapat pulang ke menyumbang kepada negara asal suatu hari nanti, katanya ketika ditemui.

 

Sumber : Berita Harian

Explore More