JOHOR BAHRU: Laman web Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul laman web paling popular di kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia sepanjang tahun ini.
Penarafan dilakukan 4icu.org turut mendapati UTM satu-satunya universiti dari Malaysia tersenarai pada kedudukan keenam di Asia Tenggara, 47 di peringkat Asia dan 280 di peringkat dunia berdasarkan penarafan dibuat terhadap 10,200 universiti dan kolej membabitkan 200 negara seluruh dunia.
Penarafan dibuat 4icu.org itu berasaskan algoritma terdiri dari tiga web bebas berdasarkan ‘page rank’, ‘traffic rank’ dan ‘total link population’ yang mencerminkan populariti setiap universiti berdasarkan laman web dimiliki mereka.
Secara tidak langsung, ia menunjukkan Internet menjadi sumber penting orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai sesebuah universiti.
Bagi penarafan peringkat dunia, Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama, diikuti The University of Texas, Austin, AS dan Universiti Michigan, AS, ketiga. Universiti Harvard, Cambridge dan Oxford masing-masing menduduki tempat ketujuh, 10 dan 12.
Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang, menyifatkan pengumuman itu mengekalkan reputasi UTM sebagai universiti paling terkehadapan di negara ini dari segi penggunaan teknologi maklumat.
“Selain penggunaan teknologi maklumat, menerusi memorandum persefahaman (MoU) terbaru dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), UTM bakal mempunyai kemudahan makmal teknologi ‘Long Term Evolution’ (LTE) untuk latihan, demonstrasi dan penyelidikan teknologi 4G,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara UTM dan SKMM di Dewan Bankuet Bangunan Canselori UTM cawangan Skudai, kelmarin. Dr Zaini berkata, UTM dalam usaha membangunkan perkhidmatan jalur lebar 3G di seluruh kawasan kampus universiti itu seluas 1,120 hektar selepas kejayaan perkhidmatan tanpa wayar yang kini dinikmati pelajar UTM.
Sumber: Harian Metro
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof
am@hmetro.com.my