Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2011: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institusi pengajian tinggi di Malaysia paling disukai oleh pengguna media sosial Facebook (FB) di seluruh dunia.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, analisa yang dilakukan oleh socialbakers.com terhadap 5,499 akaun FB institusi pengajian tinggi di seluruh dunia mendapati UTM menduduki tempat ketiga di Asia dan ke 57 dunia manakala Universiti Malaya (UM) menduduki tempat kedua di Malaysia dan ke 69 dunia.

“Kajian berkenaan menunjukkan bilangan pengguna FB yang menyukai FB UTM meningkat sebanyak 2,068 dalam tempoh sebulan yang lalu kepada 46,003 orang.

“FB digunakan di UTM untuk komunikasi antara pensyarah, mahasiswa warga kampus dan masyarakat luar untuk bertukar maklumat mengenai pelbagai perkembangan berkaitan akademik dan pembangunan saintifik,” katanya.

Zaini berkata, pengurusan UTM juga menggunakan FB untuk mendapat maklumat balas mengenai pelbagai isu berkaitan perkhidmatan universiti dan menyaring idea bernas yang inovatif dan kreatif bagi dilaksanakan, selain untuk tujuan promosi dan pemasaran universiti.

Bagi kedudukan di peringkat dunia, universiti di Amerika Syarikat menduduki tiga tempat teratas diketuai oleh Universiti Harvard, Universiti Lousiana State dan Universiti Ohio State.

“Kajian oleh socialbakers.com, sebuah portal statistik media sosial terbesar di dunia menunjukkan Amerika Syarikat merupakan negara terbanyak memiliki akaun Facebook di dunia diikuti Indonesia dan India.

“Facebook kini menjadi pilihan utama organisasi di seluruh dunia untuk menyalurkan pelbagai maklumat dan aktiviti secara terus tanpa melalui pihak ketiga,” katanya.

Explore More