📝 Ringkasan
Tadika Ihsan UTM menerapkan pendekatan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI) dalam pendidikan awal kanak-kanak. Pendekatan ini melibatkan aktiviti pembelajaran yang mengambil kira keperluan perkembangan fizikal, emosi, kerohanian dan intelektual kanak-kanak. Tadika Ihsan UTM berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti, selamat dan kondusif bagi menyokong perkembangan menyeluruh setiap murid.
JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Tadika Ihsan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerapkan pendekatan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI) dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi menyokong perkembangan menyeluruh setiap murid, selaras dengan usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti, selamat dan kondusif.
Ketua Unit Pendidikan, HELWA dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), Pusat Islam UTM (PIUTM), Rahmawatulhusna Sokhipul Hadi berkata, penubuhan Tadika Ihsan UTM bukan sekadar menyediakan ruang pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak, malah turut memberi perhatian kepada hak setiap kanak-kanak untuk memperoleh pendidikan awal yang berkualiti serta berpeluang mengembangkan potensi diri.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 yang mengangkat tema global My Day, My Rights, My Future.

Menurut beliau, penerapan elemen JERI dilaksanakan secara bersepadu melalui pelbagai aktiviti pembelajaran yang mengambil kira keperluan perkembangan fizikal, emosi, kerohanian dan intelektual kanak-kanak.
“Selari dengan teras pertama iaitu Jasmani, Tadika Ihsan UTM menekankan pembentukan fizikal yang sihat dan cergas melalui aktiviti pendidikan jasmani, muzik serta pergerakan kreatif menggunakan peralatan pendidikan mesra kanak-kanak.
“Kesedaran mengenai gaya hidup sihat turut diterapkan menerusi amalan pemakanan seimbang yang dipantau rapi bagi memastikan tumbesaran optimum setiap murid,” katanya.
Bagi aspek Emosi pula, Tadika Ihsan UTM menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan interaksi positif, pembentukan sikap terpuji dan kemahiran komunikasi berkesan dalam kalangan kanak-kanak.
Menerusi aktiviti bercerita dan ruang ekspresi diri yang disediakan selaras dengan tema My Day, My Rights, My Future, kanak-kanak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan serta berkongsi pengalaman. Pendekatan ini turut membantu membina keyakinan diri dan menghargai keupayaan masing-masing.
Sementara itu, elemen Rohani diterapkan sebagai sebahagian daripada usaha membentuk sahsiah dan nilai murni sejak peringkat awal. Nilai-nilai Islam serta adab harian dipupuk menerusi rutin pembelajaran yang merangkumi pengenalan kepada asas Islam, latihan amali solat, pembacaan Iqra’, hafazan surah-surah lazim dan doa harian dalam suasana pembelajaran yang mesra kanak-kanak.

Dari sudut Intelektual pula, pembangunan kognitif dilaksanakan menerusi kaedah penerokaan aktif yang merangkumi empat cabang pengetahuan asas. Cabang tersebut melibatkan pengetahuan fizikal melalui pemerhatian terhadap hubungan antara objek, pengetahuan logik-matematik, pengetahuan perwakilan melalui ungkapan imaginatif dan seni, serta pengetahuan sosial konvensional yang memperkenalkan adat resam masyarakat dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Pendekatan ini turut disokong dengan aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak meneroka, berfikir serta menggunakan kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam proses pembelajaran.
Menurut pihak pengurusan Tadika Ihsan UTM, penyepaduan keempat-empat elemen JERI mencerminkan usaha Tadika Ihsan UTM dalam menyediakan asas pendidikan awal yang bukan sahaja memberi perhatian kepada perkembangan akademik, malah merangkumi pembentukan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak secara menyeluruh.
“Pendidikan awal bukan sekadar persediaan akademik, sebaliknya proses membina keseimbangan jiwa, minda dan akhlak. Di Tadika Ihsan UTM, setiap kanak-kanak diberi ruang untuk meneroka potensi diri dalam ekosistem kampus yang kondusif,” katanya.
Pelaksanaan pendekatan JERI ini turut memperlihatkan peranan UTM dalam menyokong agenda kesejahteraan kanak-kanak melalui penyediaan pendidikan awal yang mengambil kira hak, keperluan dan potensi setiap individu. Usaha tersebut diharap dapat membantu membentuk generasi yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani serta mempunyai nilai akhlak yang baik.

Selain itu, inisiatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan JERI ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).
Melalui pendekatan tersebut, Tadika Ihsan UTM terus memainkan peranan dalam menyediakan pengalaman pendidikan awal yang menyeluruh, sekali gus menyokong perkembangan kanak-kanak sebagai generasi masa hadapan.