Naib Canselor UTM Terima Gelaran Dato’ Bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim telah dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam bidang pendidikan tinggi, kepimpinan universiti, pembangunan bakat serta kemajuan masyarakat dan negara.

JOHOR BAHRU,15 November 2026 – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Penganugerahan ini yang membawa gelaran Dato’ itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam bidang pendidikan tinggi, kepimpinan universiti, pembangunan bakat serta kemajuan masyarakat dan negara. Istiadat penganugerahan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada 15 November 2026.

Dilahirkan di Gerik, Perak pada tahun 1976, Dato’ Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry merupakan anak jati Perak yang dibesarkan dalam keluarga yang menjunjung tinggi nilai pendidikan, adab dan khidmat kepada masyarakat. Nilai amanah, kerja keras dan keprihatinan terhadap komuniti yang diterapkan sejak kecil terus menjadi asas kepada perjalanan akademik dan kepimpinan beliau.

Beliau memulakan pengajian tinggi di UTM dengan memperoleh Diploma Sains Komputer pada tahun 1997, diikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 1999 dan Ijazah Sarjana Sains Komputer pada tahun 2004. Pada tahun 2008, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Kepakaran beliau tertumpu pada bidang sains komputer, khususnya pemprosesan imej, pemodelan spatial, analitik data serta inovasi media dan permainan.

Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat di UTM, beliau memegang pelbagai amanah kepimpinan, termasuk Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Prasiswazah, Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah, pengasas Institute for Life-Ready Graduate (UTM iLeaGue), Pengerusi UTM iLeaGue serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Beliau dilantik sebagai Naib Canselor UTM kelapan berkuat kuasa pada 9 Januari 2025.

Antara sumbangan strategik beliau ialah mempelopori idea dasar Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), merangka strategi enVision UTM 2025, menubuhkan Pusat Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) UTM serta memainkan peranan penting dalam penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan UTM, fakulti khusus kecerdasan buatan pertama seumpamanya di Malaysia.

Di luar kampus, beliau turut aktif menyumbang kepada masyarakat, antaranya sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan dan Pesuruhjaya Daerah Kelanasiswa Malaysia UTM (Johor Bahru).

Hubungan beliau dengan negeri Perak turut diterjemahkan melalui peranan sebagai Ahli Pemikir dan Felo Institut Darul Ridzuan. Sebagai pakar rujuk bagi pembangunan Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam bidang data raya, beliau menyumbang kepada penggubalan dasar negeri yang berteraskan data dan bukti, termasuk menerusi penerbitan buku Data Raya untuk Perak Sejahtera 2030. UTM turut memberi kerjasama kepada agensi kerajaan negeri dalam membantu kajian Penerokaan Nadir Bumi di Perak.

Di bawah kepimpinan beliau, UTM turut menyumbang secara langsung kepada komuniti di Perak. Pada Ogos 2025, UTM melancarkan Kampung Plang, Gerik sebagai Kampung Angkat Madani pertama universiti, menerusi pelbagai aktiviti bersama penduduk termasuk program anak angkat, sukan rakyat, gotong-royong, kenduri rakyat dan Ziarah Kasih. Inisiatif ini diteruskan dengan projek menaik taraf Jambatan Besi Air Musang di kampung tersebut bagi meningkatkan keselamatan dan mobiliti penduduk setempat.

Beliau turut mempelopori program UTM TechnoXplorer, inisiatif jangkauan STEM kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah, yang telah dianjurkan di Gerik, Manjung dan Lumut. Program ini mendedahkan pelajar kepada teknologi dron, asas kecerdasan buatan (AI), robotik dan inovasi kejuruteraan bagi menyemai minat terhadap bidang STEM sejak di bangku sekolah.

UTM juga menjadi universiti pertama yang menubuhkan pusat kajian rasmi di Lenggong UNESCO Global Geopark, satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dua pengiktirafan UNESCO, iaitu sebagai Geopark Global dan Tapak Warisan Dunia. Kerjasama ini dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark pada April 2026 bagi penubuhan UTM-Lenggong UNESCO Global Geopark Open Learning Lab di Lenggong. UTM turut menempatkan Makmal Satelit Penyelidikan Geopark UTM di Pusat Komuniti Lenggong bagi menyokong program pembelajaran serta kursus pendek berkaitan pengurusan, perancangan dan pemuliharaan geopark. Usaha ini selari dengan hasrat menjadikan Lenggong sebagai hab pendidikan terbuka bertaraf antarabangsa.

Penganugerahan ini sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau yang menghubungkan kecemerlangan akademik dengan keperluan masyarakat. Ia turut menjadi penghormatan kepada seluruh warga UTM yang terus mendukung aspirasi universiti untuk menginovasi penyelesaian lestari demi kesejahteraan negara dan kemanusiaan sejagat.

 

Ihsan gambar daripada Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Explore More

UTM Open Day