Dr. Syaza Soraya komited kembangkan pembelajaran berasaskan alam semula jadi

SDGSDG4SDG13

📝 Ringkasan

Dr. Syaza Soraya, seorang graduan Doktor Falsafah dalam Psikologi Pendidikan, telah menjalankan penyelidikan tentang pendidikan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di Malaysia. Beliau berpendapat bahawa kanak-kanak masa kini tidak lagi mengenali alam semula jadi dan tidak memahami kepentingan memelihara alam sekitar. Oleh itu, beliau meneroka pendekatan pembelajaran berasaskan alam semula jadi (nature-based learning) untuk menyemai pengetahuan dan nilai kelestarian alam sekitar sejak peringkat prasekolah.

JOHOR BAHRU, 14 November 2026 – Pernah suatu ketika, Dr. Syaza Soraya Sauli menunjukkan beberapa logo jenama ternama kepada sekumpulan kanak-kanak.

Menariknya, mereka pantas memberikan jawapan yang khusus apabila diminta mengenal pasti logo berkenaan.

Namun, apabila ditunjukkan gambar pokok, bunga dan burung, jawapan yang diberikan lebih umum dan mereka kelihatan kurang mengenali unsur alam tersebut secara terperinci.

Pengalaman itu membuatkan beliau berfikir tentang hubungan kanak-kanak dengan alam semula jadi. Daripada situ, timbul satu ungkapan yang menjadi asas kepada pemikirannya, iaitu “tak kenal, maka tak cinta”.

Jika kanak-kanak tidak mengenali bumi dan alam di sekeliling mereka, bagaimana mungkin rasa cinta terhadap alam dapat dipupuk? Lebih penting lagi, jika tiada rasa cinta, sejauh manakah kesediaan mereka untuk melindunginya?

Persoalan inilah yang mendorong Dr. Syaza meneroka pendekatan pembelajaran berasaskan alam semula jadi (nature-based learning), khususnya dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Bagi beliau, perkembangan teknologi digital perlu diseimbangkan dengan peluang untuk kanak-kanak meneroka persekitaran fizikal melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Dr. Syaza Soraya merupakan seorang graduan yang aktif sepanjang bergelar seorang mahasiswa

Graduan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi Pendidikan dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu melihat pendekatan berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk menyemai pengetahuan dan nilai kelestarian alam sekitar sejak peringkat prasekolah.

Kajian beliau yang bertajuk Memperkasakan Nilai Kelestarian Alam Sekitar dalam Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah di Malaysia melalui Modul Pembelajaran Berasaskan Alam Semula Jadi yang Komprehensif meneliti potensi pendekatan tersebut dalam menyokong perkembangan kanak-kanak serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap alam sekitar.

Latihan Penyelidikan membuka peluang kepada Syaza untuk mendalami kajiannya dengan lebih mendalam

Mengimbangi masa skrin dengan pengalaman bersama alam

Perkembangan teknologi telah menjadikan telefon pintar, tablet dan komputer sebahagian daripada persekitaran pembelajaran serta kehidupan harian kanak-kanak.

Walaupun kemahiran menggunakan teknologi memberikan manfaat dalam proses pembelajaran, Dr. Syaza berpandangan bahawa pengalaman berinteraksi dengan alam semula jadi tidak seharusnya diketepikan.

Beliau tidak menolak kecenderungan kanak-kanak terhadap kerjaya dalam bidang digital seperti pempengaruh media sosial, YouTuber atau pencipta kandungan.

Sebaliknya, kebimbangannya lebih tertumpu kepada peluang yang semakin terhad untuk kanak-kanak meneroka persekitaran fizikal dan membina pengalaman melalui aktiviti secara langsung.

“Perkara membimbangkan saya ialah kanak-kanak masa kini tidak lagi dapat mengenal alam. Mereka tidak dapat membezakan pokok buah dan bunga, serangga mahupun haiwan. Berbanding pengetahuan dari sudut akademik atau kecekapan mengendalikan aplikasi di telefon pintar, mereka jauh lebih ke hadapan, namun pengetahuan mengenai alam semula jadi sangat rendah,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman berada di luar bilik darjah memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk memerhati, menyentuh, meneroka dan mengenali kepelbagaian alam.

Aktiviti seperti bermain di kawasan lapang, memerhatikan serangga serta mengenali tumbuh-tumbuhan juga boleh dijadikan sebahagian daripada pengalaman pembelajaran mereka.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan peranti digital secara berlebihan perlu diberi perhatian, khususnya apabila mengurangkan peluang kanak-kanak untuk berinteraksi dengan orang lain dan persekitaran sekeliling.

Salah satu pendekatan pembelajaran berasaskan alam ialah membina ruang pembelajaran yang menyokong buat kanak-kanak

Dalam hal ini, Dr. Syaza berkongsi kebimbangannya terhadap perubahan corak interaksi dan tumpuan kanak-kanak yang mungkin berkaitan dengan penggunaan skrin secara berlebihan.

Bagi beliau, keseimbangan antara masa skrin (screen time) dengan masa meneroka alam semula jadi (green time) wajar diberikan perhatian oleh ibu bapa dan pendidik.

Dalam bidang psikologi pendidikan, pengalaman pada peringkat awal kanak-kanak merupakan antara aspek yang diberikan perhatian kerana tempoh tersebut melibatkan perkembangan pelbagai kemahiran, termasuk keupayaan berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi dengan persekitaran.

Beliau berpandangan bahawa aktiviti berasaskan alam semula jadi boleh menyediakan rangsangan melalui penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau serta pergerakan fizikal.

Pengalaman sedemikian berpotensi melengkapkan pembelajaran di dalam bilik darjah, selain membantu kanak-kanak memahami konsep yang mungkin sukar dibayangkan melalui penerangan atau bahan visual sahaja.

Pengalaman penyelidikan di peringkat antarabangsa

Usaha Dr. Syaza dalam bidang pendidikan alam sekitar turut membawanya memperoleh peluang menjalankan penyelidikan dan memperluas jaringan akademik di peringkat antarabangsa.

Antara pengiktirafan yang diterimanya ialah Merdeka Award Grant for International Attachment 2023, yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Badan Amanah Anugerah Merdeka.

Melalui geran berkenaan, beliau berpeluang menjalani penempatan penyelidikan di Centre for Environmental Education, University of Minnesota Duluth, Amerika Syarikat.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkesempatan menimba pengalaman dan bertukar pandangan dengan Profesor Julie Ernst, pakar dalam bidang pendidikan alam sekitar.

Syaza Soraya bersama-sama Profesor Julie Ernst di UMD

Selain itu, beliau turut menyertai program Australia-Malaysia Virtual Internship anjuran Suruhanjaya Tinggi Australia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program berkenaan membuka ruang kepada beliau untuk berinteraksi dengan Dr. Shirley Wyver dari Macquarie University serta mempelajari pendekatan Bush Kinder di Australia melalui perkongsian Chris Speldewinde.

“Pengalaman tersebut memberikan pendedahan kepada pelbagai pendekatan pendidikan berasaskan alam yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha menyesuaikan kaedah pembelajaran dengan konteks pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” tambahnya.

Beliau turut mengembangkan jaringan akademik dengan institusi pengajian tinggi di Jepun bagi meneroka peluang perkongsian ilmu dan kerjasama dalam bidang berkaitan.

Perbincangan tentang NBL melalui perspektif 3 buah negara, Malaysia – Australia dan Jepun

Bagi Dr. Syaza, peluang berinteraksi secara langsung dengan penyelidik dan pakar dalam bidang yang diceburi memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada pembacaan bahan ilmiah semata-mata.

Selain pengalaman penyelidikan antarabangsa, hasil kajian beliau turut menerima sokongan pembiayaan penerbitan berjumlah RM14,000 daripada KPT dan UTM bagi menampung kos pemprosesan artikel untuk penerbitan dalam jurnal International Journal of Early Childhood.

Syaza Soraya bersama-sama penyelia, Prof Dr Azlina Mohd Kosnin

Menyemai kesedaran kelestarian sejak usia awal

Melihat kepada perkembangan pendidikan masa hadapan, Dr. Syaza berharap pembelajaran berasaskan alam semula jadi diberikan perhatian yang lebih meluas dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Menurut beliau, kanak-kanak bukan sahaja perlu didedahkan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran digital, malah perlu diberikan peluang untuk mengenali alam sekitar serta memahami kepentingan memeliharanya.

Beliau berpandangan bahawa usaha tersebut memerlukan penglibatan bersama antara pendidik, ibu bapa, institusi pendidikan, pihak berkuasa dan masyarakat.

Penyediaan ruang hijau yang selamat, latihan kepada guru serta aktiviti pembelajaran yang sesuai boleh membantu menjadikan alam sekitar sebahagian daripada pengalaman pendidikan harian kanak-kanak.

Dr. Syaza Soraya bersama keluarga tercinta yang banyak menyokong perjuangannya menamatkan pengajian

Bagi Dr. Syaza, perubahan dalam pendidikan tidak semestinya bermula melalui langkah yang besar.

Sebaliknya, usaha yang dilaksanakan secara berterusan dan berasaskan keperluan kanak-kanak juga berpotensi membuka ruang kepada pendekatan pembelajaran yang lebih menyeluruh.

“Selagi mana apa yang kita lakukan itu kita rasakan baik dan tenang di hati, teruskan. Kadang-kadang apa yang kita buat adalah melawan arus. Namun, selagi ia baik, teruskanlah kerana kadangkala mereka yang melawan arus ini akan membuka jejak-jejak baharu di belakang. Teruslah untuk habiskan apa yang kita mula. Percaya pada diri, insya-Allah Allah bantu.”

Melalui penyelidikan dan penglibatan dalam bidang pendidikan, Dr. Syaza berharap lebih ramai pihak melihat alam semula jadi sebagai ruang pembelajaran yang boleh melengkapi pendidikan formal, sekali gus menyemai kesedaran kelestarian dalam kalangan generasi muda.

Explore More

UTM Open Day