Pendakwah Ustaz Dr. Iqbal Zain al-Jauhari cemerlang raih PhD

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Dr. Iqbal Zain al-Jauhari, seorang pendakwah, telah berjaya mendapatkan PhD dalam bidang pengajian Islam. Beliau pernah mengalami masa lalu yang tidak cemerlang dalam pendidikan, tetapi telah berjaya menuntut ilmu melalui jalan yang berbeza. Beliau telah menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu hadis dan syariah di Afrika Selatan. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan telah menyiapkan tesis PhD yang bertajuk “Faham Nur Muhammad menurut Shaykh Yusuf al-Maqassari dan pandangan para ulama mengenainya”.

JOHOR BAHRU, 17 November 2026 – Siapa sangka, seorang kanak-kanak yang pernah mengoyakkan halaman ensiklopedia milik bapanya untuk dijadikan roket kertas akhirnya berjaya menghasilkan tesis Doktor Falsafah (PhD), manakala sumber daripada ensiklopedia yang sama turut dirujuk dalam tesisnya?

Perjalanan Dr. Mohd Iqbal bin Parjin atau lebih dikenali Ustaz Dr. Iqbal Zain al-Jauhari membuktikan bahawa latar belakang dan pencapaian akademik masa lalu bukanlah penentu mutlak kejayaan seseorang dalam menuntut ilmu.

Dilahirkan di Kluang, Johor, pada 16 September 1981, Dr. Iqbal mengakui bahawa beliau bukanlah pelajar yang cemerlang ketika di bangku sekolah rendah.

Malah, beliau tidak memperoleh sebarang gred A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan lebih gemar bermain berbanding membaca buku.

Bapanya pernah membelikan satu set Encyclopaedia Britannica dengan harapan dapat memupuk minat membaca, namun halaman-halamannya lebih menarik perhatian beliau sebagai bahan untuk menghasilkan roket kertas.

Dr Iqbal ketika berusia 19 tahun dan Encyclopaedia Britannica yang dibeli oleh ayahnya

Segalanya mula berubah apabila beliau memasuki sekolah menengah. Minat terhadap buku dan pembelajaran semakin berkembang sehingga beliau berjaya muncul sebagai pelajar terbaik sekolah pada tahun 1998.

Walaupun memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pangkat Satu dan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), satu pengalaman mengikuti program dakwah selama 40 hari di Penanti, Pulau Pinang, telah mengubah arah kehidupannya.

Pergaulan dengan para pelajar pondok dan tahfiz membuka hati beliau untuk mendalami ilmu agama melalui sistem pengajian tradisional dan bersanad.

Dengan restu ibu bapa, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan hasrat memasuki universiti dan memulakan perjalanan ilmu yang berlangsung hampir 15 tahun di luar negara.

Dr. Mohd Iqbal bin Parjin bersama kedua-dua ibu bapanya yang menjadi sumber inspirasi dan kekuatan sepanjang perjalanan beliau menuntut ilmu

Beliau menghafaz 30 juzuk al-Quran di Madrasah Tahfiz Pujud, Pattani, Thailand, sebelum mendalami ilmu hadis dan syariah selama tujuh tahun di Darul Uloom Zakariyya, Johannesburg, Afrika Selatan.

Pengembaraan ilmunya diteruskan di Darul Mustafa, Tarim, Yaman, dengan pengajian dalam bidang fiqh, usul fiqh dan tasawuf.

Pengalaman menuntut ilmu bersama para guru melalui tradisi talaqqi membentuk asas keilmuan serta pendekatan beliau terhadap ilmu.

Baginya, ilmu bukan sekadar himpunan maklumat, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara dan disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Dr Iqbal di kedutaan Mesir setelah dijemput bagi menyampaikan syarahan ilmu kepada pelajar Al-Azhar pada tahun 2017

“Antara keputusan terbesar yang telah mengubah arah kehidupan saya ialah memilih untuk terus menuntut ilmu, meskipun laluan yang saya tempuh tidak sama seperti kebanyakan orang,” jelas beliau ketika berkongsi perjalanan hidupnya.

Selepas kembali ke Malaysia pada tahun 2013, Dr. Iqbal mula memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa, selain perlu mencari nafkah untuk keluarga. Namun, hasrat untuk terus mendalami ilmu tidak pernah terpadam.

Pada tahun 2014, ketika berusia 33 tahun, beliau melangkah ke dunia akademik universiti apabila berjaya memperoleh pemindahan kredit berdasarkan kelayakan pengajian tinggi yang diikuti di Afrika Selatan.

Laluan tersebut membolehkannya memasuki pengajian pascasiswazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) secara terus ke peringkat sarjana tanpa melalui pengajian ijazah sarjana muda.

Beliau memilih Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS), UTM, kerana tertarik dengan tradisi keilmuan yang berteraskan gagasan pemikiran Prof. Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Peluang menimba ilmu daripada para sarjana yang merupakan anak murid tokoh tersebut menjadi dorongan besar untuk beliau menyertai komuniti akademik berkenaan.

Dr. Iqbal turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengarah CASIS, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, yang memainkan peranan penting dalam perjalanan beliau diterima sebagai pelajar pascasiswazah.

Bimbingan para penyelia dan pensyarah sepanjang pengajian juga menjadi antara faktor yang membantu membentuk perjalanan akademiknya sehingga ke peringkat PhD.

Penyelidikan PhD beliau bertajuk “Faham Nur Muhammad menurut Shaykh Yusuf al-Maqassari dan pandangan para ulama mengenainya”.

Kajian tersebut meneliti pemikiran Shaykh Yusuf al-Maqassari, seorang tokoh ulama dan sufi besar dari Nusantara, khususnya berkaitan perbahasan Nur Muhammad dan persoalan keawalan penciptaannya.

Penyelidikan ini turut menelusuri pandangan ulama daripada pelbagai disiplin, termasuk hadis, akidah dan tasawuf, bagi memahami perkembangan perbahasan tersebut dalam tradisi keilmuan Islam.

Antara tumpuan kajian ialah meneliti sumber, hujah dan konteks sejarah, termasuk pandangan ulama yang menerima mahupun mengkritik konsep berkenaan.

Menurut Dr. Iqbal, penelitian yang lebih menyeluruh diperlukan kerana perbahasan Nur Muhammad kadangkala dibicarakan secara terpisah sehingga menimbulkan salah faham dan polemik dalam masyarakat.

“Sumbangan yang ingin saya ketengahkan bukanlah untuk memaksa semua pihak menerima sesuatu kesimpulan, tetapi untuk mengajak masyarakat menilai sesuatu perbahasan berdasarkan sumber, metodologi dan hujah yang dikemukakan,” katanya.

Dr Iqbal menyampaikan syarahan bertajuk “Dalil-dalil Nur Muhammad” di program Kota Sufi anjuran Jabatan Mufti negeri Sembilan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan

Kajian tersebut turut memberikan perhatian kepada karya dan manuskrip Shaykh Yusuf al-Maqassari. Menariknya, ketika berada di Afrika Selatan pada tahun 2004, Dr. Iqbal pernah menziarahi makam tokoh berkenaan di Cape Town.

Beliau tidak pernah menyangka bahawa tokoh yang dikunjunginya itu akhirnya menjadi subjek utama penyelidikan PhD bertahun-tahun kemudian.

Perjalanan menyiapkan tesis bukanlah sesuatu yang mudah. Dr. Iqbal perlu membahagikan masa antara penyelidikan, tanggungjawab keluarga, usaha mencari nafkah serta kegiatan mengajar dan berdakwah.

Sepanjang perjalanan pengajian tersebut, beliau turut melalui tiga fasa penyeliaan yang berbeza. Penyelia pertama, Prof. Dr. Zainiy Uthman, telah bersara, manakala penyelia kedua, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi, telah kembali ke rahmatullah sebelum penyelidikan tersebut dapat disempurnakan.

Akhirnya, penyelidikan ini diteruskan dan disempurnakan di bawah bimbingan penyelia ketiga, Dr. Mohd Hilmi Ramli. Setiap perubahan menuntut penyesuaian dan ketekunan agar usaha penyelidikan dapat diteruskan sehingga selesai.

Dalam tempoh tersebut, anak-anaknya pernah tertanya-tanya mengapa ayah mereka masih belajar sedangkan mereka sendiri sudah bersekolah. Pertanyaan itu menjadi peringatan bahawa proses menuntut ilmu tidak terikat pada usia atau tahap kehidupan seseorang.

Akhirnya, beliau berjaya mempertahankan tesis dalam peperiksaan lisan (viva voce) pada 20 Mei 2026, sebelum kelulusan PhD diperakukan oleh Senat UTM pada September 2026.

Kejayaan ini melengkapkan sebuah perjalanan panjang yang bermula di selatan Semenanjung Malaysia iaitu Johor, kemudian merentasi Selatan Thailand, Afrika Selatan dan menuju ke Yaman Selatan, sebelum akhirnya kembali ke selatan tanah air, di UTM Johor Bahru.

Bagi Dr. Iqbal, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha beliau seorang, sebaliknya turut didukung oleh doa ibu bapa, pengorbanan keluarga, keikhlasan para guru, bimbingan penyelia serta sokongan warga universiti.

Beliau juga tidak melihat PhD sebagai kemuncak perjalanan ilmu, tetapi sebagai amanah dan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Dr Iqbal menjadi salah seorang panel jemputan di forum Tasawwuf Dan kepimpinan di bawah Jabatan Mufti Negeri Sabah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

“Saya tidak mahu ilmu yang saya peroleh hanya berakhir dengan sebuah ijazah atau tersimpan dalam sebuah tesis. Sebaliknya, saya berharap ia dapat diterjemahkan dalam bentuk penulisan, pengajaran, penyelidikan dan usaha membimbing generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat menerbitkan hasil penyelidikan PhD dalam bentuk buku yang lebih mudah diakses oleh penuntut ilmu dan masyarakat umum, selain menghasilkan artikel jurnal bermutu serta meneruskan penelitian terhadap manuskrip turath, khususnya karya ulama di Alam Melayu.

Beliau turut berharap dapat terus menyumbang dalam bidang pengajian Islam, khususnya akidah, hadis dan tasawuf, dengan menggabungkan tradisi pengajian talaqqi bersama pendekatan penyelidikan akademik.

Kisah Dr. Iqbal akhirnya kembali kepada sebuah kenangan kecil bersama bapanya. Ensiklopedia yang suatu ketika dahulu dikoyakkan untuk dijadikan roket kertas kemudiannya menjadi antara sumber rujukan dalam tesis sarjana beliau yang bertajuk “Kajian Kritis Terhadap Faham Toleransi Dalam Karya Yohanan Friedman”.

Daripada halaman yang pernah diterbangkan sebagai permainan, lahir sebuah perjalanan ilmu yang membawanya ke pentas akademik.

Perjalanan tersebut membawa satu pengajaran bahawa masa lalu bukan penentu mutlak masa hadapan, usia bukan penghalang untuk terus belajar, dan jalan yang berliku tidak bermakna seseorang tidak akan sampai ke destinasi.

Bagi Dr. Iqbal, kejayaan menggenggam PhD bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada amanah yang lebih besar untuk terus menuntut ilmu, berkarya dan menyumbang kepada agama, masyarakat serta generasi akan datang.

Explore More

UTM Open Day