📝 Ringkasan
Dr. Syaza Amira, seorang graduan 28 tahun dari Pontian, Johor, telah menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Fizik dengan berjaya mengembangkan bahan kaca bagi pengurusan sisa radioaktif. Beliau telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyiapkan penyelidikan tersebut, termasuk kos bahan yang tinggi dan keperluan untuk seimbangkan antara pelajaran dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
JOHOR BAHRU, 15 Nov – Kejayaan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) melalui laluan fast track bukanlah perjalanan yang mudah bagi Dr. Syaza Amira, lebih-lebih lagi apabila beliau perlu seimbangkan antara pelajaran dan juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri serta ibu.
Berasal dari Pontian, Johor, graduan yang berusia 28 tahun itu memulakan pengajian PhD dalam bidang Sains Fizik pada awal 2022 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bahan bagi menguruskan sisa radioaktif.
Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan bahan berasaskan kaca bagi pengurusan sisa radioaktif. Kajian tersebut meneliti potensi bahan yang dapat memerangkap sisa radioaktif dalam matriks kaca bagi meningkatkan kestabilannya dan mengurangkan risiko penyebaran bahan tercemar ke persekitaran.
Sepanjang perjalanan tersebut, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi masa, tenaga dan juga kewangan memandangkan penyelidikan dalam bidang bahan-nuklear. (Material – nuclear) melibatkan kos bahan yang tinggi. Setiap sampel bahan yang ingin dianalisis perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan setiap perbelanjaan kepada sampel bahan dapat memperoleh keputusan yang baik.
Selain menjalankan penyelidikan sebagai pelajar PhD sepenuh masa, beliau turut mempunyai komitmen sebagai tutor dan memberikan kelas tuisyen. Keadaan tersebut menjadikan pengurusan masa antara perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan tanggungjawab akademik, pekerjaan dan penyelidikan dapat dilaksanakan dengan teratur.
Beliau juga pernah mengambil cuti pengajian selama satu semester selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak pertama bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu. Walaupun terlintas dalam fikiran beliau untuk berputus asa akibat tekanan mengikuti pengajian PhD, namun sokongan suami iaitu Ahmad Azamuddin, ibunya Puan Surianie dan bapanya Encik Zulkeplee serta penyelia menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Di sebalik cabaran yang dilalui, perjalanan akademiknya turut membuka peluang berharga yang sukar dilupakan. Antaranya termasuklah apabila beliau terpilih untuk mewakili Malaysia dalam persidangan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Austria, pada Ogos 2023, dengan menerima tajaan penuh bagi menyertai persidangan tersebut.

Persidangan yang menghimpunkan pakar dan profesional keselamatan nuklear dari pelbagai negara itu memberikan peluang kepada beliau untuk berkongsi hasil penyelidikan dalam bidang pengurusan sisa radioaktif. Menariknya, Dr. Syaza merupakan satu-satunya pelajar dalam kalangan peserta yang hadir.
Walaupun berada dalam kalangan peserta yang mempunyai pengalaman profesional dalam bidang keselamatan nuklear, beliau tidak kekok membentangkan penyelidikannya berkaitan pembangunan bahan kaca bagi pengurusan sisa radioaktif. Malah, beliau turut diberikan kepercayaan untuk memainkan peranan sebagai Technical Session Rapporteur bagi salah satu sesi teknikal persidangan tersebut.

Selain pengalaman di Vienna, beliau juga berpeluang menyertai lawatan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas bagi melihat sendiri penggunaan teknologi robot dalam mengesan tahap radiasi di sesuatu kawasan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. Beliau merakamkan penghargaan kepada penyelia yang telah banyak memberi bimbingan dan sokongan moral serta membuka peluang untuk mengenali dunia luar iaitu Dr. Nor Ezzaty Ahmad, serta penyelia bersama, Prof. Dr. Suhairul Hashim.

Dalam simulasi tersebut, sebuah patung digunakan bagi mewakili pekerja yang menjadi mangsa pencemaran radioaktif. Robot X3CATOR digunakan untuk mengesan tahap radiasi pada patung berkenaan sebelum pasukan radiasi menghantar maklumat hasil pengesanan dengan pasukan Hazmat dan bomba bagi memperlihatkan kaedah pengendalian mangsa yang terdedah kepada bahan radioaktif.
Pendedahan itu memberikan gambaran tentang kepentingan kerjasama antara kepakaran teknikal dan pasukan tindak balas kecemasan, khususnya dalam menghadapi situasi yang melibatkan pencemaran radioaktif. Pengalaman di luar makmal seperti ini turut memperluas pemahaman beliau tentang aplikasi ilmu fizik nuklear dalam situasi sebenar.
Beliau turut menyifatkan hubungan bersama rakan-rakan pascasiswazah sebagai antara kenangan manis sepanjang pengajian, meski menjalankan penyelidikan yang berbeza namun masing-masing saling memberikan sokongan ketika berdepan cabaran dalam menyiapkan tugasan penyelidikan.
Beliau berharap penyelidikannya dapat membantu mengurangkan risiko pendedahan radiasi kepada manusia dan alam sekitar. Usaha memperbaiki pengurusan sisa radioaktif penting kerana bahan tersebut memerlukan pengendalian yang teliti bagi mengelakkan pencemaran serta mengurangkan kemungkinan kesan jangka panjang terhadap persekitaran.
Mengakhiri perkongsian, Dr. Syaza berpesan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian agar sentiasa mengingati niat asal menuntut ilmu, menghargai sokongan ibu bapa dan insan tersayang serta tidak melupakan doa ketika berhadapan kesukaran.
“PhD merupakan perjalanan yang panjang, bukan sekadar untuk menyiapkan tugasan penyelidikan, tetapi juga untuk menghadapi ketidakpastian dan gigih dalam mencari ilmu,’ jelas beliau.