Suami isteri alumni UTM genggam sarjana forensik

SDGSDG4SDG5SDG8

📝 Ringkasan

Pasangan suami isteri, Nor Azura Lop dan Mohd Fahizam Sabri, kembali ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas lebih dua dekad meninggalkan alam universiti untuk menyambung pengajian Sarjana Kejuruteraan Forensik. Mereka berdua menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM pada tahun 2003. Kejayaan mereka membuktikan bahawa jarak geografi dan kesibukan tuntutan kerjaya dan keluarga tidaklah menghalang mereka menyuburkan semangat menuntut ilmu.

JOHOR BAHRU, 16 Nov – Peribahasa ‘sirih pulang ke gagang’ paling tepat menggambarkan perjalanan akademik pasangan suami isteri yang kembali ke alma mater mereka selepas lebih dua dekad meninggalkan alam universiti.

Nor Azura Lop, 45, bersama suami, Mohd Fahizam Sabri, melakar kenangan manis apabila meraikan kejayaan menggenggam Sarjana Kejuruteraan Forensik pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70.

“Dewan ini menjadi saksi, jika dahulu kami hadir sebagai graduan muda dengan cita-cita masing-masing, kini kami melangkah sebagai pasangan suami isteri yang saling menyokong dalam merealisasikan cita-cita bersama,” kata Nor Azura.

Lebih bermakna, kejayaan pasangan ini diraih dalam bidang pengajian yang sama di bawah Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, sekaligus membuktikan bahawa jarak geografi serta kesibukan tuntutan kerjaya dan keluarga bukanlah penghalang untuk menyuburkan semangat menuntut ilmu.

Sejarah pendidikan pasangan ini bermula pada tahun 2003, apabila kedua-duanya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM.

Nor Azura kini berkhidmat sebagai ketua jurutera di sebuah syarikat perunding kejuruteraan minyak dan gas di Kuala Lumpur, manakala suaminya pula seorang jurutera profesional yang berkhidmat di Singapura.

Selepas 23 tahun membina kerjaya serta menguruskan keluarga, keputusan untuk melangkah semula ke UTM dibuat pada tahun 2024 menerusi mod Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL).

Hasrat asal untuk menyambung pengajian dicetuskan oleh suami beliau dengan niat memanfaatkan masa lapang ketika berjauhan daripada keluarga.

Pada masa yang sama, Nor Azura yang ketika itu sedang menyesuaikan diri selepas pemergian ibu tercinta melihat peluang kembali belajar sebagai ruang positif untuk bangkit daripada kesedihan dan fokus kepada perkara baharu.

Nor Azura dan Mohd Fahizam dalam jubah konvokesyen Sarjana UTM sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70

“Dulu, mak yang selalu galakkan saya sambung belajar. Waktu itu saya pilih untuk bekerja dahulu. Hari ini, alhamdulillah, doa mak termakbul.”

Antara cabaran terbesar buat beliau adalah untuk menyesuaikan diri semula dengan rutin belajar selepas lebih dua dekad meninggalkan alam universiti.

Selepas seharian bekerja, beliau masih perlu menguruskan keperluan tiga orang anaknya sebelum dapat memberi tumpuan kepada kuliah dan tugasan.

Hubungan suami isteri jarak jauh juga memakan komitmen yang besar buat beliau dan suami. Nor Azura menetap di Kuala Lumpur bersama tiga orang cahaya mata manakala suaminya berulang-alik dari Singapura setiap hujung minggu.

Nor Azura dan suami meraikan kejayaan menamatkan pengajian Sarjana di UTM bersama anak-anak tersayang.

Keadaan ini memerlukan disiplin pengurusan masa yang amat tinggi. Hujung minggu yang merupakan waktu berhimpun sekeluarga dibahagikan secara bijak antara keperluan anak-anak, kuliah dalam talian, dan penyediaan tesis.

Detik paling menguji berlaku apabila peperiksaan sekolah anak-anak jatuh pada minggu yang sama dengan peperiksaan semester mereka. Keadaan itu menyaksikan seluruh ahli keluarga berkumpul mengulangkaji pelajaran bersama-sama di meja belajar.

Mengikuti program Kejuruteraan Forensik bersama-sama memberikan kelebihan unik buat pasangan ini.

Berada dalam kelas yang sama memudahkan mereka saling memahami bebanan tugasan, bertukar pandangan teknikal berdasarkan latar belakang industri masing-masing, serta memberi sokongan moral ketika salah seorang mengalami keletihan.

“Ada juga persaingan sihat antara kami. Sesekali, kami berlumba-lumba nak tengok siapa dapat gred lebih baik. Itulah antara perkara yang buat pengalaman belajar bersama lebih seronok dan mendorong kami berdua untuk buat yang terbaik,” ulas Nor Azura.

Pengalaman kerjaya Nor Azura dalam reka bentuk saluran paip minyak dan gas di dasar laut serta pengalaman suami beliau selama 20 tahun dalam bidang penyeliaan infrastruktur utama termasuk projek LRT dan MRT menjadi punca pemilihan bidang kejuruteraan forensik di UTM.

Bidang ini amat diperlukan bagi seorang jurutera untuk mengetahui punca kegagalan sesuatu sistem dan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kegagalan pada masa hadapan.

Kejayaan meraih gelaran Sarjana Kejuruteraan Forensik ini dihadiahkan khas buat ingatan arwah ibu Nor Azura yang sentiasa mendorongnya menuntut ilmu, serta bapa dan tiga anak mereka.

Pasangan ini berharap kejayaan mereka menjadi obor inspirasi buat anak-anak bahawa menuntut ilmu tidak mempunyai had usia.

“Selagi usia dipinjamkan, selagi itu semangat menuntut ilmu terus menyala dalam diri, agar ilmu yang diraih menjadi bekal untuk mencurahkan bakti dan meninggalkan manfaat buat generasi seterusnya.”

Membawa pegangan moto ‘Kerana Tuhan untuk Manusia’, perjalanan akademik pasangan ini tidak berhenti di sini. Mereka menyimpan hasrat dan azam untuk meneruskan pengajian bersama-sama ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sekiranya diberi ruang dan kesempatan pada masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day