📝 Ringkasan
Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (GI2RG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan delegasi akademik daripada Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia. Lawatan itu melibatkan 20 staf akademik ITS serta enam wakil Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM. Delegasi berkenaan disambut oleh barisan ahli akademik UTM yang terdiri daripada Penolong Ketua Makmal GI2RG, Prof. Madya Sr. Dr. Ami Hassan Md Din; Sr. Dr. Mohammad Hanif Hamden; Sr. Ts. Dr. Muhammad Imzan Hassan; dan Dr. Khairulnizam M. Idris.
JOHOR BAHRU, 5 Nov. – Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (GI2RG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan delegasi akademik daripada Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia, bagi berkongsi kepakaran dan meneroka potensi kerjasama dalam bidang teknologi geospatial.
Lawatan itu melibatkan 20 staf akademik ITS serta enam wakil Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM. Delegasi berkenaan disambut oleh barisan ahli akademik UTM yang terdiri daripada Penolong Ketua Makmal GI2RG, Prof. Madya Sr. Dr. Ami Hassan Md Din; Sr. Dr. Mohammad Hanif Hamden; Sr. Ts. Dr. Muhammad Imzan Hassan; dan Dr. Khairulnizam M. Idris.
Program dimulakan dengan sesi taklimat mengenai latar belakang UTM dan FABU, diikuti pengenalan kepada GI2RG, bidang kepakaran kumpulan penyelidikan itu, projek penyelidikan yang telah dilaksanakan serta pencapaian pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam sesi sama, delegasi turut diberikan penerangan mengenai Program Profesional Hidrografi UTM yang mendapat pengiktirafan di bawah kerangka Persekutuan Juruukur Antarabangsa (FIG), Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) dan Persatuan Kartografi Antarabangsa (ICA). Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha UTM menyediakan latihan profesional dalam bidang hidrografi berdasarkan keperluan kompetensi antarabangsa.

Selepas sesi taklimat, delegasi dibawa melawat ruang pameran dan menyaksikan demonstrasi teknologi yang digunakan dalam penyelidikan GI2RG. Sesi itu dikendalikan oleh Penolong Ketua Pelajar GI2RG, Amiruddin Mohamad, yang memperkenalkan tiga bidang kepakaran utama kumpulan penyelidikan berkenaan, iaitu hidrografi, teknologi geospatial dan fotogrametri.
Beliau turut menerangkan proses pemerolehan, pemprosesan, analisis dan visualisasi data geospatial serta penggunaannya dalam pelbagai sektor, termasuk pengurusan sumber marin, perancangan bandar, pemantauan infrastruktur, pemeliharaan warisan, pengurusan bencana dan penyiasatan forensik.

Pameran seterusnya dikendalikan oleh Ketua Pelajar GI2RG, Ahmad Firdaus Razali, yang memperkenalkan aplikasi teknologi pengimbasan laser terestrial (Terrestrial Laser Scanning, TLS) dan realiti maya (VR) dalam penyiasatan tempat kejadian jenayah.
Menerusi kerjasama dengan Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG), teknologi TLS digunakan untuk merekodkan keadaan fizikal sesuatu lokasi secara terperinci melalui penghasilan data tiga dimensi dalam bentuk awan titik (point cloud). Data tersebut membolehkan penyiasat meneliti semula kedudukan objek, jarak, ukuran dan hubungan ruang antara bahan bukti tanpa perlu kembali ke lokasi kejadian.


Sesi pameran turut menampilkan demonstrasi teknologi pesawat udara tanpa pemandu (UAV), fotogrametri jarak dekat dan pengimbasan cahaya berstruktur yang disampaikan oleh Muhammad Zulhelmy Jamalulizam.
Dalam aplikasi pemantauan jalan raya, teknologi UAV boleh digunakan untuk memperoleh imej udara beresolusi tinggi bagi menghasilkan ortofoto dan model tiga dimensi permukaan jalan. Maklumat tersebut dapat membantu mengenal pasti kerosakan seperti lubang, keretakan dan permukaan tidak rata, sekali gus menyokong proses pemeriksaan serta perancangan penyelenggaraan jalan yang lebih cekap.
Selain itu, delegasi turut diperkenalkan kepada penggunaan fotogrametri jarak dekat dan teknologi pengimbasan cahaya berstruktur dalam pendokumentasian warisan digital. Menerusi demonstrasi pengimbasan artifak seperti Kalam Semah, peserta dapat melihat bagaimana objek warisan direkodkan dalam bentuk model tiga dimensi yang terperinci tanpa perlu mengubah atau menjejaskan keadaan fizikal objek asal.
Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Makmal GI2RG, Prof. Madya Ts. Sr. Dr. Mohd Faisal Abdul Khanan. Beliau menekankan bahawa penggunaan teknologi geospatial kini melangkaui fungsi pemetaan dan berkembang sebagai platform analisis yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang.
Menurut beliau, integrasi teknologi geospatial dengan kecerdasan buatan (AI), VR, sensor tiga dimensi (3D) dan analisis data membuka peluang kepada pembangunan penyelesaian inovatif dalam bidang forensik, pengurusan infrastruktur, pemeliharaan warisan, perancangan bandar, pengurusan bencana, alam sekitar dan keselamatan awam.

Lawatan akademik itu turut menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman antara UTM dengan ITS, selain membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, mobiliti akademik, penerbitan dan pembangunan inovasi geospatial yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serta industri.
Secara keseluruhannya, lawatan tersebut memberi pendedahan kepada delegasi ITS mengenai kepakaran dan hasil penyelidikan GI2RG, khususnya dalam menghubungkan penyelidikan akademik dengan aplikasi teknologi geospatial dalam situasi sebenar. Pertemuan itu juga menyediakan ruang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka hubungan kerjasama akademik dan penyelidikan pada peringkat serantau.