📝 Ringkasan
Dr. Juhaida Jamal menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas menghadapi cabaran peribadi dan kehilangan ayahnya yang berjuang melawan kanser. Beliau meneruskan pengajian sambil menjaga ayahnya dan membina kehidupan berkeluarga. Dr. Juhaida juga mengembangkan model ramalan risiko radikalisme yang berpotensi membantu agensi keselamatan mengenal pasti kawasan berisiko.
JOHOR BAHRU, 18 November 2026 – Ada kata-kata yang terus hidup dalam ingatan meskipun insan yang mengungkapkannya telah pergi buat selama-lamanya.
Bagi Dr. Juhaida Jamal, pesan arwah ayahnya menjadi antara pendorong utama beliau menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum perjalanan tersebut bertukar menjadi perjuangan penuh kehilangan, pengorbanan dan ketabahan.
“Abah mungkin tidak sempat melihat saya naik ke pentas konvokesyen nanti. Tetapi saya berharap, di mana pun abah berada, abah tahu bahawa saya sudah menyelesaikan apa yang pernah saya janjikan,” katanya.
Di sebalik kejayaan yang diraikan sempena Majlis Konvokesyen Ke-70 (MK70) UTM, tersimpan kisah seorang anak yang berusaha menunaikan hasrat ayahnya, seorang ibu yang tabah menggalas tanggungjawab keluarga, serta seorang penyelidik yang berusaha menyumbang kepada keselamatan masyarakat melalui penyelidikan berkaitan radikalisme.

Perjalanan akademiknya bermula apabila menerima tawaran PhD melalui laluan pantas (fast track) di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), ketika baru melaporkan diri pada hari pertama bekerja selepas menamatkan ijazah sarjana muda.
Keputusan tersebut turut didorong harapan ayahnya yang sedang berjuang melawan multiple myeloma, sejenis kanser darah.
Sepanjang pengajian, Juhaida kerap berulang-alik dari Johor ke Kedah bagi menjaga ayahnya, sambil memenuhi tuntutan akademik termasuk penilaian kelayakan, penerbitan dan pengumpulan data.
Namun, ketika hampir melengkapkan penyelidikan pada tahun kedua, beliau menerima berita pemergian ayah tercinta, sehari selepas menyelesaikan pengumpulan data utama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.
Kehilangan tersebut amat mendalam kesannya apabila insan yang menjadi pendorong utama perjuangannya tidak lagi berkesempatan menyaksikan kejayaan yang diimpikan.

Meskipun diuji kesedihan, Juhaida memilih meneruskan pengajian sambil membina kehidupan berkeluarga. Beliau mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua anak lelaki sepanjang perjalanan PhD.
Cabaran berterusan apabila sesi pemeriksaan lisan tesis (viva voce) pada 16 Februari 2026 terpaksa ditangguhkan selepas beliau melahirkan anak kedua pada 14 Februari 2026.
Dalam keadaan masih berpantang dan menyesuaikan diri sebagai ibu kepada dua anak kecil, beliau akhirnya berjaya menduduki viva dengan keputusan B1 berserta pembetulan tesis.
Pada Julai 2026, semua pembetulan berjaya diselesaikan, sekali gus menamatkan perjalanan akademik yang menguji kekuatan emosi dan ketahanan dirinya.

Di sebalik cabaran peribadi, Juhaida turut membangunkan model ramalan risiko radikalisme dikenali sebagai GeoRaDiM, bagi mengenal pasti kawasan berpotensi menghadapi risiko berdasarkan data kejadian terdahulu serta pandangan pakar, termasuk kerjasama PDRM.
Penyelidikan tersebut melibatkan empat kelompok faktor utama, iaitu sosial, ekonomi, politik dan pemodenan, dengan dapatan menunjukkan faktor politik dan sosial memberikan pengaruh lebih ketara terhadap risiko radikalisme.
Menurutnya, kewujudan faktor risiko tidak semestinya menyebabkan radikalisme berlaku, sebaliknya boleh menjadi pencetus yang memerlukan perhatian awal.

Model tersebut berpotensi membantu agensi seperti PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenal pasti kawasan berisiko serta merancang tindakan pencegahan lebih bersasar.
“Sebelum berlaku, kita cegah dulu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kesan radikalisme bukan sekadar kehilangan nyawa, malah melibatkan kerosakan infrastruktur, modal insan, kesejahteraan rakyat dan perpecahan masyarakat.
Mengimbas kembali perjuangannya, Juhaida menyifatkan kejayaan tersebut sebagai penyempurnaan janji yang pernah menjadi sebab utama beliau memulakan pengajian PhD.
Kini, beliau bakal meraikan kejayaan tersebut bukan bersama arwah ayah seperti yang pernah diimpikan, tetapi ditemani tiga insan penting dalam kehidupannya, iaitu suami dan dua anak lelakinya, serta ibu dan keluarga tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, doa dan sokongan sepanjang perjalanan pengajiannya.
Kisah Juhaida membuktikan bahawa kejayaan akademik bukan hanya diukur melalui pencapaian penyelidikan dan segulung ijazah, tetapi juga melalui kekuatan seseorang menghadapi kehilangan, perubahan kehidupan dan tanggungjawab keluarga.
“Kerana ada janji yang tidak sempat disaksikan, ada kehilangan yang tidak pernah benar-benar sembuh, dan ada impian yang akhirnya tercapai bukan seperti yang kita bayangkan, tetapi dengan makna yang jauh lebih besar daripada yang pernah kita fahami.” luahnya.

Kejayaan Juhaida bersempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 menjadi inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa yang sedang berjuang mengejar impian, bahawa kehilangan dan tanggungjawab keluarga tidak semestinya menjadi penghalang untuk meneruskan pendidikan tinggi.