ISBS 2026 angkat inklusiviti sains, perluas akses komuniti pekak melalui STEM

SDGSDG4SDG10SDG17

📝 Ringkasan

Festival sains inklusif, Inclusivity in Science: Science Festival Beyond Sounds (ISBS) 2026 telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Festival ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan sains inklusif, khususnya dalam membuka peluang kepada komuniti pekak untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pelbagai pendekatan pembelajaran yang sesuai untuk komuniti pekak diperkenalkan, termasuk penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), demonstrasi visual dan aktiviti praktikal.

JOHOR BAHRU, 31 Okt. – Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT), Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Inclusivity in Science: Science Festival Beyond Sounds (ISBS) 2026, sebuah festival sains inklusif yang berlangsung di Atrium T02, UTM Johor Bahru, dengan penyertaan lebih daripada 150 peserta terdiri daripada warga universiti, murid sekolah pendidikan khas dan komuniti pekak.

Para peserta yang menghadiri ISBS 2026 di Atrium T02, UTM Johor Bahru

Program berkenaan turut terpilih sebagai salah satu program Top Bidder UTM di bawah inisiatif Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM. Pengiktirafan tersebut mencerminkan sokongan universiti terhadap usaha mahasiswa menganjurkan program berteraskan sains dan teknologi yang memberi perhatian kepada keperluan komuniti.

Penganjuran festival ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan sains inklusif, khususnya dalam membuka peluang kepada komuniti pekak untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan mesra akses, festival ini mengetengahkan sains sebagai bidang ilmu yang boleh diterokai oleh semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, pelbagai pendekatan pembelajaran yang sesuai untuk komuniti pekak diperkenalkan, termasuk penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), demonstrasi visual dan aktiviti praktikal. Kehadiran jurubahasa isyarat daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) turut membantu memastikan penyampaian maklumat dan perkongsian ilmu dapat diakses oleh peserta.

ISBS 2026
Peserta ISBS 2026 meneroka pameran sains interaktif yang disediakan sepanjang festival

Festival ini turut diserikan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat, antaranya Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Shafinaz Shahir; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Prof. Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar; Ketua Jabatan Biosains, Dr. Mohd Helmi Sani; Ketua Jabatan Kimia, Prof. Madya ChM. Dr. Joazaizulfazli Jamalis; Pengerusi Majlis Pengetua, Prof. Madya Ts. Dr. Abd. Rahman Tamuri; serta Timbalan Pendaftar Kanan Fakulti Sains, Khairull Azmi Ishak.

Antara pengisian utama festival ialah sesi perkongsian ilmu oleh Ts. Inv. Dr. Rafizah Mohd Hanifa, Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Dr. Othman Zainon, Pensyarah Kanan merangkap Ketua Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM.

Peserta menyertai aktiviti interaktif sepanjang ISBS 2026
Sesi perkongsian ilmu sains bersama peserta ISBS 2026

Selain sesi perkongsian ilmu, pelbagai aktiviti interaktif turut dilaksanakan, termasuk demonstrasi dan bengkel pembuatan sabun, pameran sains, kuiz serta kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM). Aktiviti tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka konsep sains melalui pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan menarik.

Keunikan festival ini turut terserlah melalui penglibatan murid daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sutera, Johor Bahru, melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), serta Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru. Penyertaan komuniti pekak daripada pelbagai latar belakang menjadikan festival ini ruang interaksi dan perkongsian pengalaman antara komuniti, institusi pendidikan dan warga universiti.

Penganjuran ISBS 2026 turut mendapat sokongan rakan strategik, iaitu YPKDT, Society of the Deaf Johor (SDJO), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Ayam Gepuk Express. Kerjasama ini membantu memperluas usaha meningkatkan akses pendidikan serta kesedaran tentang keperluan komuniti pekak.

Antara wakil komuniti dan organisasi yang hadir ialah Penyelaras Pusat Komuniti Orang Pekak Johor, Mohd Yazid Bain; Pengerusi Persatuan Orang Pekak Islam Johor, Mohd Norhafizan Zaini; Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Johor, Wong Wah Chein; Pegawai Unit Pembangunan OKU YPKDT, Siti Hanim M. Zulkepli; serta Penolong Pegawai Tadbir YPKDT, Mohd Fadrul Zharef Mohd Fuzi.

Mohd Yazid Bain menyampaikan ucapan pada majlis penutup ISBS 2026

Menurut wakil Society of the Deaf Johor (SDJO), Mohd Yazid Bain, penganjuran ISBS 2026 merupakan satu inisiatif bermakna kerana menjadi program STEM berkonsepkan inklusiviti yang pertama sepanjang lebih 30 tahun penglibatan beliau bersama persatuan tersebut.

Beliau turut berharap agar program berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperluas peluang komuniti pekak mengakses pendidikan STEM, selain menggalakkan interaksi antara komuniti pekak dengan masyarakat umum.

Secara keseluruhannya, ISBS 2026 menjadi platform untuk mempererat hubungan antara universiti, institusi pendidikan dan komuniti pekak melalui perkongsian ilmu serta pengalaman. Penganjuran ini memperlihatkan usaha PESAT dan UTM dalam memperluas akses kepada pendidikan sains serta meningkatkan kesedaran bahawa pendidikan inklusif memerlukan penglibatan dan sokongan bersama.

Explore More

UTM Open Day