Inovasi Alumni UTM Perkukuh Keselamatan Industri Minyak dan Gas, Raih Anugerah Akademik Negara 2026

SDGSDG8

KLANG, 30 Okt – Kejayaan membangunkan teknologi pemantauan struktur yang telah digunakan pada lebih 32 platform luar pesisir sejak 2019 membawa pengiktirafan berprestij kepada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain, alumni Diploma Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apabila beliau menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 bagi kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk sempena Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17.

Beliau yang kini berkhidmat di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM merupakan peneraju pembangunan Real-Time Wireless Structural Dynamic Monitoring System (REDiM), sebuah teknologi pemantauan struktur tanpa wayar secara masa nyata yang membantu industri minyak dan gas meningkatkan keselamatan serta kecekapan pengurusan aset luar pesisir.

Inovasi ini amat signifikan kepada industri memandangkan kebanyakan platform luar pesisir di Malaysia telah beroperasi selama 20 hingga 30 tahun, dengan sebahagiannya menghampiri atau melebihi jangka hayat reka bentuk asal.

Berbanding kaedah pemeriksaan konvensional secara berkala, REDiM membolehkan keadaan struktur dipantau secara berterusan, sekali gus membantu pengendali mengenal pasti perubahan struktur lebih awal, merancang penyelenggaraan dan mengurangkan risiko operasi.

Keberkesanan REDiM dibuktikan melalui penggunaannya pada lebih 32 platform luar pesisir sejak 2019, selain mencapai Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 9, iaitu tahap tertinggi yang menunjukkan teknologi telah terbukti berfungsi dalam persekitaran operasi sebenar.

Lebih membanggakan, inovasi ini telah berjaya dikomersialkan melalui ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat hiliran UTM, sekali gus memperlihatkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan industri.

Tidak terhenti di situ, beliau turut memperkembangkan inovasi berkenaan melalui REDiM-X, sebuah platform Digital Twin berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengintegrasikan data masa nyata dan analitik pintar bagi mengesan anomali serta meramalkan kemerosotan struktur.

Teknologi ini berpotensi membantu industri melaksanakan penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), mengoptimumkan kos pemeriksaan dan penyelenggaraan, memanjangkan jangka hayat aset serta meningkatkan keselamatan operasi luar pesisir.

Bagi Prof. Madya Dr. Mohd Khairi, kejayaan membawa inovasi daripada penyelidikan kepada aplikasi industri turut didorong oleh sokongan ekosistem pengkomersialan UTM yang membuka peluang kerjasama dengan rakan industri dan penerokaan pasaran.

Pengiktirafan Prof. Madya Dr. Mohd Khairi turut menambah deretan pencapaian alumni UTM yang pernah menerima Anugerah Akademik Negara (AAN). Antaranya termasuk Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi yang menerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk pada tahun 2012, serta Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid yang menerima anugerah dalam kategori sama pada tahun 2023.

Pada edisi ke-15 tahun 2023, Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif dan Dr. Norliza Mohd Isa turut menerima Anugerah Pengajaran, manakala Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan pada tahun 2022.

Pencapaian merentasi pelbagai generasi ini memperlihatkan kesinambungan kecemerlangan alumni UTM dalam penyelidikan, inovasi, pengkomersialan dan pengajaran, sekali gus menyerlahkan sumbangan mereka kepada kemajuan pendidikan tinggi serta pembangunan industri negara.

Daripada seorang graduan Kejuruteraan Awam UTM kepada inovator yang menerima pengiktirafan berprestij di peringkat kebangsaan, pencapaian Prof. Madya Dr. Mohd Khairi mencerminkan keupayaan alumni UTM menghasilkan teknologi yang bukan sahaja bernilai secara akademik, malah terbukti memberi manfaat kepada industri.

Kejayaan ini turut menyerlahkan sumbangan alumni UTM dalam memperkukuh pembangunan teknologi berasaskan kearifan tempatan dan daya saing industri negara, selaras dengan aspirasi universiti, Menginovasi Penyelesaian Lestari.

 

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain (empat dari kiri), alumni Diploma Kejuruteraan Awam UTM, menerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk sempena Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan pembangunan dan pengkomersialan teknologi REDiM bagi pemantauan keselamatan struktur platform luar pesisir.

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More

UTM Open Day