📝 Ringkasan
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 bagi kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk. Beliau terlibat dalam pengembangan teknologi pemantauan struktur luar pesisir yang berimpak tinggi, yang dikenali sebagai Real-Time Wireless Structural Dynamic Monitoring System (REDiM). Teknologi ini membolehkan pemantauan keadaan struktur secara berterusan melalui penggunaan penderia tanpa wayar, membantu industri mengenal pasti perubahan tingkah laku struktur dan merancang penyelenggaraan.
KLANG, 30 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kecemerlangannya dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan apabila Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) menerima pengiktirafan berprestij sempena Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 bagi kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk.
Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan penyelidik UTM dalam menghasilkan teknologi berimpak tinggi yang bukan sahaja menyelesaikan cabaran sebenar industri, malah berjaya diterjemahkan kepada produk komersial melalui ekosistem inovasi dan pengkomersialan universiti.
Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat.Â
Antara inovasi utama yang dibangunkan oleh beliau ialah Real-Time Wireless Structural Dynamic Monitoring System (REDiM), iaitu teknologi pemantauan dinamik struktur tanpa wayar secara masa nyata yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan penyelenggaraan dan pengurusan integriti struktur platform luar pesisir, khususnya dalam industri minyak dan gas.

Teknologi ini amat relevan memandangkan kebanyakan pelantar luar pesisir di Malaysia yang telah beroperasi selama 20 hingga 30 tahun, dengan sebahagiannya menghampiri atau melebihi jangka hayat reka bentuk asal. Berbanding kaedah pemeriksaan konvensional yang dilaksanakan secara berkala, REDiM membolehkan pemantauan keadaan struktur secara berterusan melalui penggunaan penderia tanpa wayar, sekali gus membantu industri mengenal pasti perubahan tingkah laku struktur, merancang penyelenggaraan dan mengurangkan risiko operasi.
Keberkesanan teknologi ini telah dibuktikan melalui penggunaan REDiM pada lebih 32 platform luar pesisir sejak tahun 2019, dengan pencapaian Tahap Kesediaan Teknologi (Technology Readiness Level, TRL) 9. Lebih membanggakan, teknologi REDiM telah berjaya dikomersialkan melalui ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat hiliran UTM, sekaligus memperlihatkan kejayaan pemindahan teknologi universiti kepada aplikasi industri sebenar.

Bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, inovasi ini terus diperkembangkan melalui pembangunan REDiM-X, sebuah platform Digital Twin berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengintegrasikan pemerolehan data struktur secara masa nyata, pemodelan digital menggunakan teknologi LiDAR dan Finite Element Analysis (FEA), analitik pintar, pengesanan anomali serta ramalan kemerosotan dan baki jangka hayat struktur.
Melalui pendekatan ini, REDiM-X berpotensi memperkukuh keupayaan industri dalam melaksanakan penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), penilaian integriti struktur dan pengurusan risiko secara lebih proaktif. Teknologi ini turut menyokong usaha memanjangkan jangka hayat aset, mengurangkan kos pemeriksaan dan penyelenggaraan serta meningkatkan keselamatan operasi platform luar pesisir.
Pembangunan teknologi ini merupakan kerjasama strategik UTM melalui Kumpulan Penyelidikan Reliability Engineering and Safety Assessment (RESA) bersama rakan industri termasuk TNF Energy Sdn. Bhd., ACTS Smart Solutions, INVICOM Test & Measurement dan ORS Technologies Sdn. Bhd., yang mencerminkan kepentingan kolaborasi universiti–industri dalam mempercepatkan pembangunan dan penerimagunaan teknologi tempatan.
Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain, sokongan berterusan daripada ICC memainkan peranan penting dalam memperkukuh perjalanan inovasi daripada peringkat penyelidikan sehingga ke pengkomersialan.
“ICC melalui program inkubasi ICCubeX dan inisiatif terkini, dana ASCEND Lab-to-Market, menjadi antara titik tolak penting kepada kejayaan ini. Sokongan yang diberikan bukan sahaja membantu memperkukuh pembangunan teknologi, malah membuka peluang kepada penyelidik untuk meneroka potensi pasaran, membina jaringan industri dan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian komersial yang memberi impak sebenar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti keupayaan UTM dalam menterjemahkan kecemerlangan penyelidikan kepada inovasi yang memberi impak sebenar kepada industri.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim turut merakamkan ucapan tahniah kepada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain atas pengiktirafan menerusi Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17, yang sekali gus mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.
“Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan penyelidik UTM dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional, malah berjaya dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh industri. Pencapaian ini juga membuktikan komitmen UTM dalam memperkasa penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan teknologi, daya saing industri dan pembangunan negara,” katanya.

Pengiktirafan yang diterima oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain menerusi Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 ini bukan sahaja menyerlahkan kecemerlangan individu dalam penyelidikan dan inovasi, malah membuktikan potensi ekosistem UTM dalam menghubungkan kepakaran akademik, teknologi dan industri bagi menghasilkan penyelesaian yang berdaya saing serta memberi manfaat kepada negara.
Turut hadir ke majlis ini, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad@Salleh, serta ahli kumpulan penyelidik bersama Dr Khairi, iaitu Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain dan Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Noor Irza Mohd Zaki.
Sumber foto: Pusat Komunikasi Korporat UTM