📝 Ringkasan
Empat bot nelayan di Penyabong, Johor, yang dilengkapi dengan sistem tenaga solar melalui projek Smart Eco-PV Boat masih beroperasi dengan baik. Projek ini bertujuan memperkenalkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong operasi bot nelayan. Hasil pemantauan terkini mendapati keadaan fizikal panel solar dan komponen sistem berada pada tahap yang memuaskan.
PENYABONG, 26 Okt. – Sistem tenaga solar menerusi projek Smart Eco-PV Boat yang dipasang pada empat bot nelayan di Penyabong, Johor, pada Februari lalu didapati masih beroperasi dengan baik berdasarkan lawatan pemantauan pada 22 Oktober 2026.
Projek yang diperluas daripada pelaksanaan awal di Mersing pada 2024 itu bertujuan memperkenalkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong operasi bot nelayan. Kejayaan pelaksanaan awal berkenaan turut menarik perhatian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan komuniti nelayan dari beberapa kawasan di Malaysia terhadap potensi penggunaan tenaga solar dalam sektor perikanan.

Susulan sambutan tersebut, projek ini diperluas ke Penyabong pada 2026 dengan penajaan Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) Tech4Good. Pemasangan sistem serta program pemindahan ilmu kepada nelayan dilaksanakan pada 12 dan 13 Februari 2026 dengan kerjasama LKIM Mersing, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Mersing dan Politeknik Port Dickson.
Program berkenaan memberi pendedahan kepada nelayan tentang pengendalian sistem solar, penyelenggaraan asas dan penjagaan panel bagi memastikan sistem dapat berfungsi dengan baik dalam jangka panjang.
Hasil pemantauan terkini mendapati keadaan fizikal panel solar dan komponen sistem berada pada tahap yang memuaskan. Dapatan itu menunjukkan sistem masih berfungsi dalam persekitaran operasi bot nelayan, di samping memperlihatkan kepentingan penjagaan berkala oleh pengguna.

Menurut wakil nelayan, Zainal, nelayan kini lebih peka terhadap keperluan membersihkan panel solar secara berkala bagi memastikan penerimaan cahaya matahari tidak terhalang. Mereka juga memastikan peralatan menangkap ikan tidak diletakkan di atas panel atau di kawasan sekitarnya sehingga menghasilkan bayang-bayang yang boleh mengurangkan kecekapan penjanaan tenaga.
Kesedaran terhadap amalan penyelenggaraan asas itu merupakan antara hasil positif pemindahan ilmu yang dilaksanakan pada peringkat awal projek.

Dari segi penggunaan harian, Zainal turut berkongsi bahawa kemudahan tersebut memberi manfaat kepada nelayan, khususnya dalam mengendalikan peralatan elektrik di dalam bot. Pam air, misalnya, kini menggunakan tenaga solar pada kebanyakan masa, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pada sumber tenaga konvensional untuk mengendalikan peralatan berkenaan.
Pelaksanaan Smart Eco-PV Boat di Penyabong memperlihatkan bahawa penggunaan teknologi tenaga hijau bukan sahaja memerlukan pemasangan sistem, malah perlu disokong latihan, pemindahan ilmu dan penglibatan aktif komuniti. Keupayaan nelayan melaksanakan penyelenggaraan asas turut membantu menyokong penggunaan sistem secara berterusan.

Dengan sokongan penajaan IEEE Tech4Good serta kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), LKIM Mersing, ADTEC JTM Kampus Mersing dan Politeknik Port Dickson, projek ini berpotensi dijadikan rujukan untuk pelaksanaan teknologi solar di kawasan nelayan lain, tertakluk pada kesesuaian keperluan dan keadaan setempat.
Pengalaman di Penyabong diharap dapat menyumbang kepada usaha memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor perikanan melalui penyelesaian yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan komuniti pesisir.
Oleh Dr. Madihah Md Rasid dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian