UTM perkukuh agenda UTM ASCEND melalui inovasi pemantauan pelepasan karbon

SDGSDG7SDG11SDG13

📝 Ringkasan

UTM telah memperkukuh usaha kelestarian dengan pembangunan GHG COPE, inovasi penyelidikan untuk memantau dan mengurusi pelepasan gas rumah hijau secara sistematik. Inovasi ini membantu UTM mengenal pasti sumber pelepasan utama, menilai prestasi dan merancang strategi pengurangan karbon dengan lebih berkesan. UTM menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 30% berbanding tahun asas 2018 dan telah mencatatkan pengurangan melebihi 18% setakat 2025.

JOHOR BAHRU, 24 Okt. – Bersempena dengan Hari Tindakan Iklim Antarabangsa yang disambut pada 24 Oktober, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh usaha kelestarian melalui pembangunan GHG COPE, inovasi penyelidik universiti bagi menyokong pemantauan dan pengurusan pelepasan gas rumah hijau secara sistematik berasaskan data.

Inovasi ini membolehkan pelepasan gas rumah hijau dipantau berdasarkan tiga skop utama, iaitu Scope 1, Scope 2 dan Scope 3, sekali gus membantu UTM mengenal pasti sumber pelepasan utama, menilai prestasi serta merancang strategi pengurangan karbon dengan lebih berkesan.

Pembangunan GHG COPE selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya dalam aspek kepimpinan kelestarian dan transformasi kampus hijau. Inisiatif ini turut menyokong usaha negara ke arah mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050.

Melalui Projek Jejak Karbon UTM, Scope 1 merangkumi pelepasan langsung daripada sumber yang dimiliki atau dikawal oleh universiti, termasuk pengangkutan, pembakaran dan pelepasan fugatif. Scope 2 pula melibatkan pelepasan tidak langsung daripada penggunaan tenaga elektrik, manakala Scope 3 merangkumi pelepasan tidak langsung lain dalam rantaian aktiviti universiti, termasuk bekalan air dan pengurusan sisa pepejal, tertakluk pada sempadan pelaporan yang ditetapkan.

UTM menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 30 peratus berbanding tahun asas 2018. Setakat 2025, universiti telah mencatatkan pengurangan melebihi 18 peratus berbanding tahun asas tersebut, sekali gus memperlihatkan kemajuan ke arah sasaran yang ditetapkan.

Menurut pencipta GHG COPE, Prof. Haslenda Hashim dan Dr. Muhammad Afiq Zubir, inovasi itu dibangunkan untuk memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan teknologi digital bagi memperkukuh pengurusan karbon universiti.

“GHG COPE dibangunkan bagi membantu UTM memantau pelepasan gas rumah hijau secara lebih sistematik dan berasaskan data. Melalui sistem ini, sumber pelepasan utama dapat dikenal pasti dengan lebih jelas, sekali gus membolehkan strategi mitigasi dirancang bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.”

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad berkata, inovasi seperti GHG COPE memperlihatkan peranan universiti dalam mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan tindakan iklim bagi menyokong pembangunan mampan.

“Pemantauan pelepasan gas rumah hijau secara sistematik dan berasaskan data dapat membantu UTM mengenal pasti sumber pelepasan utama, merancang langkah mitigasi yang lebih berkesan serta menilai kemajuan ke arah kampus rendah karbon.

“Kami berharap inovasi ini bukan sahaja dapat membantu pengurusan karbon di UTM, malah berpotensi menjadi model amalan yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan institusi lain dalam mempercepat agenda kelestarian dan tindakan iklim negara,” katanya.

Pembangunan GHG COPE turut menyokong perancangan langkah mitigasi, antaranya melalui pengurusan tenaga yang cekap, penggunaan pengangkutan rendah karbon, pengurangan sisa dan pemeliharaan kawasan hijau kampus. Pendekatan ini membantu memastikan usaha pengurangan pelepasan dilaksanakan secara lebih terancang dan kemajuannya dapat dinilai berdasarkan data.

Paparan antara muka GHG COPE bagi pemantauan dan pelaporan pelepasan gas rumah hijau di UTM

Explore More

UTM Open Day