BOND 26’ x Kuru-Kuru 3.0 himpun lebih 8 tan pakaian, perkasa budaya guna semula

SDGSDG8SDG11SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Lebih lapan tan pakaian terpakai dikumpulkan dan diagihkan secara percuma kepada komuniti setempat menerusi Program CSR BOND 26′ x Kuru-Kuru 3.0 anjuran UTM. Program ini bertujuan menggalakkan penggunaan semula pakaian, mengurangkan pembaziran tekstil dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan kelestarian.

JOHOR BAHRU, 19 Okt. – Lebih lapan tan pakaian terpakai berjaya dikumpulkan dan diagihkan secara percuma kepada komuniti setempat menerusi Program CSR BOND 26’ x Kuru-Kuru 3.0 anjuran Kelab Institusi Jurutera Kimia (IChemE) Cawangan Pelajar UTM (UTM-SC), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 17 dan 18 Oktober 2026.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kraf Hibiscus serta sokongan tajaan Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 6.0 itu membawa tema “Fabrik Dikongsi, Bumi Dihargai”. Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan penggunaan semula pakaian, mengurangkan pembaziran tekstil dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan kelestarian.

Ahli jawatankuasa dan sukarelawan mahasiswa UTM berganding bahu menjayakan Program CSR BOND 26’ x Kuru-Kuru 3.0

Seramai 65 sukarelawan mahasiswa UTM daripada pelbagai fakulti, termasuk FKT, Fakulti Komputeran, Fakulti Sains dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, terlibat dalam menjayakan program tersebut. Mereka bekerjasama menguruskan pengumpulan, pengasingan dan pengagihan pakaian bagi memastikan proses berjalan secara teratur.

Selain aktiviti pengagihan pakaian, program itu turut menyediakan pameran interaktif untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai konsep Kuru-Kuru yang berasal dari Jepun. Pendekatan ini memperkenalkan prinsip sifar sisa (zero waste) dan ekonomi kitaran (circular economy) melalui aktiviti yang mudah difahami serta boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sukarelawan mengasingkan pakaian terpakai sebelum diagihkan kepada komuniti setempat

Pada 18 Oktober, program berkenaan turut menyaksikan majlis peluncuran laman web rasmi yang dihadiri Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, dan Ketua Kampung Melayu Kangkar Pulai, Mohd Farizul Mohd Hairi. Majlis itu turut mendapat sokongan rakan strategik, termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SWM Environment Sdn. Bhd.

Majlis peluncuran laman web rasmi BOND 26’ x Kuru-Kuru 3.0 bersama wakil UTM, komuniti dan rakan strategik

Penglibatan mahasiswa dalam program ini turut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kemahiran pengurusan, logistik, komunikasi dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar. Inisiatif tersebut juga berkait dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 8, iaitu Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 11, Bandar dan Komuniti yang Mampan; SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; serta SDG 13, Tindakan Terhadap Iklim.

Penduduk setempat memilih pakaian terpakai yang disediakan secara percuma sepanjang program berlangsung

Pengarah Program, Marsya Dania Hamri, yang juga Naib Presiden IChemE UTM-SC sesi 2026/2027, berkata program itu bukan sekadar menyediakan platform pengagihan pakaian terpakai, malah memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.

“Kami berhasrat untuk menyemai budaya kepimpinan berimpak tinggi yang mampan agar mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat tempatan serta melahirkan modal insan yang peka terhadap cabaran kelestarian global,” katanya.

Ahli jawatankuasa IChemE UTM-SC mengendalikan pameran interaktif bagi meningkatkan kesedaran pengunjung tentang penggunaan semula tekstil dan amalan sifar sisa

Secara keseluruhan, penganjuran BOND 26’ x Kuru-Kuru 3.0 memperlihatkan peranan mahasiswa dalam menggerakkan inisiatif komuniti yang menggabungkan kesukarelawanan dengan amalan kelestarian. Usaha seumpama ini diharap dapat menggalakkan penggunaan semula tekstil serta memperkukuh kerjasama antara universiti, rakan industri dan masyarakat dalam menyokong gaya hidup yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Oleh Nurul Alya Nabilah Azni dan Dr. Amnani Shamjuddin

Explore More

UTM Open Day