📝 Ringkasan
335 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dianugerahkan penghargaan menerusi Majlis Sanjungan Budi UTM 2026. Majlis itu bertemakan Klasik Warisan dan mengiktiraf staf yang berkhidmat selama 20, 30 dan 40 tahun. Seramai 144 orang merupakan pesara dan bakal pesara, manakala tujuh orang menerima Anugerah Delima bagi tempoh perkhidmatan 40 tahun.
JOHOR BAHRU, 22 Okt. – Seramai 335 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diraikan menerusi Majlis Sanjungan Budi UTM 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kesetiaan, dedikasi dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan di UTM.
Majlis tahunan bertemakan Klasik Warisan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, itu menghargai staf yang berkhidmat selama 20, 30 dan 40 tahun, selain memberi penghormatan kepada pesara serta bakal pesara universiti bagi tahun 2026.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 144 orang merupakan pesara dan bakal pesara, manakala tujuh orang menerima Anugerah Delima bagi tempoh perkhidmatan 40 tahun. Seramai 50 orang pula dianugerahkan Anugerah Jasa Setia atas perkhidmatan selama 30 tahun, manakala 134 orang menerima Anugerah Jasa Bakti bagi tempoh perkhidmatan 20 tahun.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Yang Berhormat Datuk Haji Pandak Ahmad, dan turut dihadiri Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Haji Pandak berkata, penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan penghargaan terhadap sumbangan setiap warga kerja.
“Sesungguhnya, majlis pada hari ini bukan sekadar sebuah acara penghargaan, malah mencerminkan budaya UTM yang sentiasa menghargai jasa, mengenang budi serta mengiktiraf sumbangan setiap warganya,” katanya.
Beliau turut menyampaikan pesanan kepada pesara dan bakal pesara supaya terus berbangga dengan sumbangan serta legasi perkhidmatan yang telah dibina sepanjang berkhidmat di universiti itu.
“Buat bakal pesara dan mereka yang telah menamatkan perkhidmatan, segala masa, tenaga, ilmu, pengalaman dan komitmen yang dicurahkan sepanjang berkhidmat di UTM amatlah bermakna. Berakhirnya tempoh perkhidmatan bukanlah bererti berakhirnya nilai sebuah jasa. Sebaliknya, segala pencapaian, teladan dan sumbangan yang telah diberikan akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah dan legasi universiti,” tambahnya.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata, kecemerlangan UTM hari ini dibina berasaskan dedikasi, pengorbanan dan komitmen berterusan warga universiti terdahulu.
“Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, mempunyai nilai tersendiri dalam membentuk kekuatan dan kejayaan UTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang terus berkembang dan disegani,” ujarnya.
Beliau berkata, persaraan bukanlah penamat hubungan seseorang staf dengan universiti kerana jasa dan sumbangan mereka akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta legasi institusi berkenaan.
“Persaraan bukanlah penamat kepada hubungan seseorang staf dengan universiti. Sebaliknya, jasa dan sumbangan mereka akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta legasi kecemerlangan UTM. Kepada staf yang masih berkhidmat, semoga pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk terus menyumbang dengan penuh integriti, amanah dan semangat kebersamaan demi masa depan universiti,” katanya.

Antara penerima yang mendapat perhatian ialah Latipah Hussin, penerima Anugerah Jasa Bakti yang berkhidmat sebagai operator telefon di Jabatan Pendaftar UTM Kuala Lumpur.
Latipah Hussin, yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir, mula berkhidmat di UTM pada 1999 sebagai operator telefon di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) sebelum bertugas di Jabatan Pendaftar UTM Kuala Lumpur. Sepanjang dua dekad perkhidmatannya, beliau terus melaksanakan tanggungjawab dengan tekun dan berdikari, termasuk menggunakan teknologi braille digital bagi membantu urusan kerja harian. Beliau yang pernah menjalani latihan awal di Persatuan Orang Buta Malaysia berkata, kekuatan mental dan fizikal serta sikap tidak mudah berputus asa penting untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pekerjaan.

Sementara itu, Siti Latifah Hj. Mohd Kusin, penerima Anugerah Delima yang menamatkan perkhidmatan selepas 40 tahun berbakti kepada UTM dan Anugerah Jasa Abadi bagi pesara, berkongsi prinsip yang dipegang sepanjang tempoh perkhidmatannya, iaitu dengan menekankan kepentingan disiplin, integriti, kesabaran dan rasa syukur dalam menghadapi cabaran kerjaya.
“Yang penting, jaga disiplin, integriti, sabar dan reda serta sentiasa bersyukur,” katanya.
Beliau turut mengingatkan warga kerja supaya terus tabah dan menerima cabaran kerjaya dengan sikap positif, sambil berusaha melaksanakan amanah sebaik mungkin.

Seorang lagi penerima Anugerah Delima dan Anugerah Jasa Abadi, Zainal Abidin Mohd Nadzri, turut berkongsi pengalaman sepanjang 40 tahun 11 bulan berkhidmat di UTM Johor Bahru.
Beliau memulakan kerjaya pada 1985 sebagai pelayan pejabat di Fakulti Kejuruteraan Awam kemudian pada 1992, beliau bertukar ke Bahagian Keselamatan sebelum bersara secara rasmi pada 2 April 2026.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Zainal Abidin berkata, amanah, sikap saling membantu dan usaha berterusan merupakan prinsip penting dalam melaksanakan tanggungjawab serta menyumbang kepada kemajuan organisasi.
“Pegangannya mudah sahaja, kita kena amanah dan saling membantu. Kita yakin apa yang kita buat itu boleh membantu untuk menaikkan universiti. Untuk mencapai kejayaan, kita perlu berusaha sendiri, jangan menindas dan yakin Allah itu ada,” katanya.
Beliau yang menyaksikan perubahan kerja UTM daripada pelaksanaan secara manual kepada sebuah universiti yang berkembang dalam bidang teknologi turut menekankan kepentingan nilai kemanusiaan seiring dengan kemajuan teknologi.

Dalam majlis yang sama, UTM turut menyampaikan Anugerah Jasa Abadi secara anumerta kepada Allahyarhamah Dr. Adibah Yahya bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di universiti itu.
Penganjuran Majlis Sanjungan Budi UTM 2026 menjadi wadah untuk menghargai kesetiaan dan khidmat bakti warga universiti, di samping mengeratkan hubungan antara staf yang masih berkhidmat dengan mereka yang bakal atau telah bersara. Pengiktirafan itu turut memperlihatkan nilai setiap sumbangan dalam membina kekuatan dan meneruskan legasi universiti.