Menyemarak budaya menulis dan membaca, mendukung agenda keilmuan

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah atau menjalankan penyelidikan, tetapi merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab membina, mengembangkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, budaya menulis dan membaca perlu terus disuburkan sebagai asas pembentukan ekosistem keilmuan yang progresif, kritis dan berdaya saing. Penerbit UTM Press memainkan peranan strategik dalam memastikan hasil kesarjanaan warga universiti dapat diterjemahkan kepada penerbitan yang berkualiti, berwibawa dan bermanfaat.

Universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah atau menjalankan penyelidikan, tetapi merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab membina, mengembangkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, budaya menulis dan membaca perlu terus disuburkan sebagai asas pembentukan ekosistem keilmuan yang progresif, kritis dan berdaya saing.

Semangat ini diterjemahkan melalui majlis penyerahan sebanyak 12 buah buku terbitan Penerbit UTM Press oleh para penulis kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim pada 15 Oktober 2026 bertempat di Pejabat Naib Canselor UTM. Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang mengetuai penyerahan buku kepada Naib Canselor bagi pihak Penerbit UTM Press.

Penyerahan ini bukan sekadar simbolik penghargaan terhadap hasil karya warga kampus UTM, malah mencerminkan komitmen universiti untuk terus memperkukuh tradisi keilmuan melalui aktiviti penulisan, penerbitan dan pembacaan.

Setiap buku yang dihasilkan membawa kisah tersendiri tentang ketekunan, pemikiran dan kesungguhan penulisnya. Di sebalik helaian yang diterbitkan, terdapat proses penyelidikan, pembacaan, penilaian dan penulisan yang menuntut kesabaran serta disiplin intelektual yang tinggi.

Justeru, penerbitan sesebuah buku bukanlah pengakhiran kepada proses penghasilan ilmu. Sebaliknya, buku menjadi titik permulaan kepada perkongsian pengetahuan, percambahan pemikiran dan pembinaan kefahaman baharu dalam kalangan pembaca.

Menulis Sebagai Tanggungjawab Keilmuan

Dalam dunia akademik, penulisan merupakan antara wahana terpenting untuk mendokumentasikan pengetahuan dan menyampaikan hasil pemikiran kepada generasi seterusnya. Ilmu yang diperoleh melalui penyelidikan, pengajaran dan pengalaman profesional sewajarnya tidak terhenti dalam lingkungan individu atau bilik kuliah semata-mata. Penulisan buku membolehkan pengetahuan tersebut disusun secara sistematik, diperhalusi dan dikongsikan dengan khalayak yang lebih luas.

Dalam dunia akademik, penulisan merupakan antara wahana terpenting untuk mendokumentasikan pengetahuan dan menyampaikan hasil pemikiran kepada generasi seterusnya. Ilmu yang diperoleh melalui penyelidikan, pengajaran dan pengalaman profesional sewajarnya tidak terhenti dalam lingkungan individu atau bilik kuliah semata-mata. Penulisan buku membolehkan pengetahuan tersebut disusun secara sistematik, diperhalusi dan dikongsikan dengan khalayak yang lebih luas.

Bagi warga kampus UTM, tanggungjawab menulis perlu dilihat melangkaui keperluan memenuhi petunjuk prestasi atau tuntutan kenaikan pangkat. Penulisan seharusnya lahir daripada kesedaran bahawa setiap ilmuwan mempunyai amanah untuk menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.

Lebih penting, budaya menulis tidak sepatutnya terbatas kepada pensyarah dan penyelidik. Warga pentadbiran, profesional, mahasiswa dan alumni juga memiliki pengalaman serta kepakaran yang berpotensi diterjemahkan kepada karya bermutu. Apabila budaya menulis berkembang merentasi seluruh warga universiti, institusi pendidikan tinggi akan menjadi sebuah komuniti yang bukan sahaja menggunakan ilmu, tetapi turut aktif menghasilkan dan menyebarkannya.

Membaca Sebagai Asas Pembinaan Pemikiran

Budaya menulis tidak dapat dipisahkan daripada budaya membaca. Penulis yang baik lazimnya merupakan pembaca yang tekun, manakala masyarakat yang membudayakan pembacaan berupaya membentuk pemikiran yang lebih terbuka, kritis dan matang.

Dalam era digital yang menyaksikan limpahan maklumat melalui media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI), keupayaan membaca secara mendalam menjadi semakin penting. Membaca bukan sekadar memperoleh maklumat dengan pantas, tetapi melibatkan proses memahami, menilai, membandingkan dan merenung sesuatu gagasan.

Buku menyediakan ruang untuk pembaca mendalami sesuatu bidang secara lebih tersusun dan menyeluruh. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperluas pandangan, mencabar andaian sedia ada dan membina pertimbangan berasaskan ilmu.

Tradisi keilmuan Islam turut mengangkat kepentingan membaca melalui wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, iaitu perintah Iqra’ atau bacalah dalam Surah al-‘Alaq. Seruan ini mengingatkan bahawa pembinaan peradaban manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, usaha menyemarakkan budaya membaca perlu menjadi agenda bersama seluruh warga kampus.

Memperkasa Peranan Penerbit UTM Press

Sebagai penerbit universiti, Penerbit UTM Press memainkan peranan strategik dalam memastikan hasil kesarjanaan warga universiti dapat diterjemahkan kepada penerbitan yang berkualiti, berwibawa dan bermanfaat. Penyerahan 12 buah buku kepada Naib Canselor UTM memperlihatkan potensi besar yang dimiliki universiti dalam menghasilkan karya ilmiah yang merentasi pelbagai disiplin pengetahuan.

Antara buku yang diserahkan ialah “Warkah Dari Baitullah: Catatan dan Ibrah Daripada Tetamu Allah SWT” yang disunting oleh Prof. Dr. Hj. Suhairul Hashim dan Prof. Madya Dr. Hjh. Sitti Asmah Hassan, “Herbal Applications and Advanced Processing” yang disunting oleh Prof. Dr. Chua Lee Suan dan Dr. Nor Farahiyah Aman Nor serta “Real Time Water Quality Monitoring Using Internet of Things” yang dikarang oleh Prof. Dr. Herlina Abdul Rahim, Dr. Syahidah Nurani Zulkifli dan Dr. Nur Athirah Syafiqah Noramli.

Buku berjudul “Solidariti Sejagat: Perjuangan Islam di Pentas Dunia” yang disunting oleh Dr. Muhammad Talhah Ajmain @ Jimaain (kiri) dan Dr. Sri Rahayu Dolah berkisar mengenai nasib umat Islam di Palestin, diserahkan kepada Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (tengah)

Dalam mendepani perubahan landskap penerbitan global, usaha memperkukuh penerbitan bercetak perlu bergerak seiring dengan pengembangan penerbitan digital, penggunaan teknologi baharu serta peluasan akses kepada pembaca di dalam dan luar negara.

Penerbitan buku juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keterlihatan kesarjanaan universiti, memperkukuh reputasi akademik dan memperluas sumbangan UTM kepada pembangunan masyarakat. Namun, kejayaan penerbitan tidak sewajarnya diukur berdasarkan jumlah judul semata-mata. Nilai sebenar sesebuah buku terletak pada sejauh mana kandungannya dibaca, difahami, dimanfaatkan dan mampu mencetuskan perubahan kepada pembacanya.

Membina Universiti yang Berbudaya Ilmu

Hasrat menjadikan UTM sebagai universiti bertaraf dunia perlu didukung oleh kekuatan budaya ilmu dalam kalangan seluruh warganya. Universiti yang unggul bukan sahaja dikenali melalui pencapaian penyelidikan, inovasi dan penarafan antarabangsa, tetapi juga melalui kemampuan membina masyarakat yang menghargai ilmu, meraikan pemikiran dan menghidupkan tradisi intelektual.

Sehubungan itu, majlis penyerahan buku ini sewajarnya menjadi pencetus kepada gerakan yang lebih besar untuk menggalakkan warga kampus menulis, menerbitkan karya dan meluangkan masa membaca. Usaha tersebut boleh diperkukuh melalui program bedah buku, wacana penulis, komuniti pembaca dan inisiatif penulisan yang melibatkan pelbagai lapisan warga universiti.

Akhirnya, budaya menulis memastikan ilmu terus berkembang, manakala budaya membaca memastikan ilmu terus hidup dan memberi makna. Sesungguhnya, buku yang diterbitkan hari ini bukan sekadar khazanah universiti, tetapi warisan pemikiran yang berpotensi memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Dengan semangat “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, UTM perlu terus memartabatkan penulisan dan pembacaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab keilmuan, demi membangunkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, berfikiran kritis dan bertamadun.

 

 

Oleh Prof. Madya Dr. Hj. Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Eksekutif Penyelidik di Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More

UTM Open Day